Zikri Kamarulzaman & Yap Jia Hee
LIHAT VIDEO DI SINI
Senarai panjang soalan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad
Husni Hanadzlah berhubung dengan 1MDB di Dewan Rakyat semalam memberi
petanda bahawa beliau tidak dimakumkan tentang apa yang berlaku, kata
dua ahli parlimen pembangkang.
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua adalah perkara
yang cukup aneh bagi bekas menteri kewangan itu yang sendiri membawa
soalan di parlimen.
“Takkan beliau (Ahmad Husni) tidak tahu masa dirinya adalah menteri
kedua. Maklumat-maklumat utama dan penting tentang 1MDB pun
disembunyikan dari menteri kewangan kedua sendiri.
“Ini bermakna maklumat penting tentang 1MDB dirahsiakan daripadanya?
“1MDB
seolah-olah menjadi operasi rahsia yang hanya seorang sahaja dalam
kabinet - iaitu PM yang juga menteri kewangan - mengetahui segalanya,"
kata Pua ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Ahmad Husni dilantik Menteri Kewangan Kedua pada April 2009, beberapa
bulan sebelum perjanjian utama pertama 1MDB - iaitu usaha sama dengan
PetroSaudi International yang tidak kekal lama.
Beliau meletak jawatan dari kabinet dan melepaskan semua jawatan dalam Umno pada Jun 2016.
Ahmad Husni bagaimanapun kekal sebagai ahli Umno dan kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tambun bagi penggalnya yang kelima.
Jual sekarang, bayar 2020
Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017 semalam, Ahmad Husni meminta
kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang
tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana
syarikat pelaburan negara itu ke "tempat yang salah".
Beliau juga menyoal mengapa kerajaan hanya akan dibayar pada tahun
2020 bagi penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia
kepada sebuah syarikat Cina.
Ahmad Husni juga menyoal kerajaan sama ada imej Malaysia akan
terjejas sekiranya 1MDB tewas dalam kes timbang tara di London berhubung
tindakan International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi, yang
menuntut lebih daripada AS$6.5 bilion daripada 1MDB.
Mengulas lanjut, Pua berkata beliau percaya Ahmad Husni telah
bertanyakan soalan berkenaan semasa mesyuarat kabinet tetapi gagal
mendapatkan jawapannya.
Katanya, adalah sedih bagi seorang bekas menteri untuk cuba mendapatkan jawapan tersebut di parlimen.
Ketika
ditemui di lobi Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri
Shafie Apdal berkata beliau gembira bahawa Ahmad Husni telah
membangkitkan isu-isu berkenaan di Dewan Rakyat.
"Kami banyak menyoalnya dalam kabinet. Saya masih ingat bahawa
beberapa soalan saya tidak diberikan jawapan. Tetapi saya gembira beliau
menimbulkan soalannya itu.
"Kami berharap ini akan membekalkan kami dengan penjelasan lanjut,"
kata Shafie, yang adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah
sejak April 2009 sehingga penyingkirannya pada Julai tahun lalu.
Antara lain, Shafie berkata kerajaan mesti segera menjelaskan mengapa
pembayaran tertunda dipersetujui bagi penjualan ekuiti dalam Bandar
Malaysia.
“Apa (yang) dibangkit Ahmad Husni husni tentang hartanah kekayaan
negara kita iaitu antara tanah cukup penting untuk Malaysia khusus di
Sungai Besi, yang dekat di hati Angkatan Tentera.
“Saya masa dulu bertugas sebagai timbalan menteri pertahanan, kita
pertahankan tanah itu dan pada hari ini dah pun dijual 60 peratus
kepadap pelabur China dan pelabur ini cuma perlu bayar pada tahun 2020.
“Bayangkan lima hingga enam tahun dia beli barang baru bayar, kalau
kita beli kereta tunggulah enam tahun baru perlu dibayar, ini satu
perjanjian yang perlu desakan lanjut, mengapa demikian?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan