MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan mampu mencorak
pentadbiran negara terutama melaksana inisiatif memperjuang nasib orang
Melayu dan masyarakat keseluruhannya seperti telah dilakukan Umno
sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) dan
membentuk kerajaan.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata ini kerana PPBM,
yang dipresidenkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat tidak akan
mempunyai kerusi Parlimen majoriti dalam kerajaan pakatan pembangkang
untuk mencorak pentadbiran, malah dilihat agak sukar mendapat laluan
parti lain untuk bertanding dalam PRU akan datang.
"Muhyiddin kata parti dia (PPBM) akan ganti perjuangan Umno, kalau nak
ganti Umno berapa kerusi dia dapat bakal bertanding (PRU akan datang)
adakah DAP, Amanah, PKR dan PAS akan beri laluan kepada dia, sudah tentu
tidak.
"Kalau (PPBM) boleh menang paling banyak 50 kerusi (Parlimen) adakah
parti ini boleh menentukan corak pentadbiran negara, kalau tidak boleh
jadilah parti si luncai yang menang sorak kampung tergadai," katanya di
sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama
Akar Umbi Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini yang turut
dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang juga
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka.
Annuar berkata Umno ditubuhkan atas dasar perjuangan membela Melayu dan
masyarakat negara ini secara keseluruhannya, maka mana mungkin parti
yang dibina atas dasar kemarahan beberapa individu tertentu seperti PPBM
dapat menggantikan Umno.
Bahkan Umno tidak akan tergugat dengan kewujudan PPBM, katanya.
Beliau berkata tindakan anggota Umno yang bertindak keluar parti
dilihat seperti proses pembersihan dalam parti kerana anggota yang tidak
setia dalam perjuangan parti sekiranya dibiarkan akan menjadi duri
dalam daging.
"Bagus juga ada parti seperti ini (PPBM) yang membersihkan, mencuci
ahli dalam parti kita, seperti 'parti majlis bandar raya'," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan