Walaupun masyarakat Cina telah menerima RM190 juta melalui pelbagai peruntukan di bawah Bajet 2017, tetapi RM50 juta yang diperuntukkan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) adalah tidak mencukupi.
China Press melaporkan, masyarakat Cina kurang berpuas hati sekadar RM50 juta yang diperuntukkan kepada SRJKC.
Peruntukan untuk masyarakat Cina termasuk RM50 juta untuk pembangunan kampung baru Cina, RM50 juta untuk pinjaman perusahaan kecil dan sederhana Cina, RM20 juta untuk pinjaman usahawan wanita Cina di bawah Yayasan Usahawan Wanita Cina Malaysia dan pinjaman bernilai RM20 juta di bawah Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia untuk penjaja Cina.
Elaun ketua kampung pula dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 selain peruntukan RM10,000 kepada semua persatuan penduduk.
Presiden Gabungan Pertubuhan Cina (Huazong), Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, peruntukan untuk pendidikan harus mengambil kira jumlah pelajar dan bukannya menyalur jumlah yang sama iaitu RM50 juta kepada semua aliran sekolah.
Katanya, SRJKC sebelum ini pernah menerima RM100 juta tetapi dikurangkan kepada RM50 juta selepas itu, dan keadaan sama berulang dalam Bajet 2017.
Yin Huah bagaimanapun berkata, Bajet 2017 boleh dikatakan saksama kepada semua kaum selain mengambil kira keperluan ekonomi rakyat peringkat akar umbi.
Naib Presiden Gerakan, Dominic Lau turut berpendapat RM50 juta adalah tidak mencukupi buat SRJKC.
"Peruntukan untuk SRJKC kurang mencukupi, peruntukan harus berdasarkan nisbah pelajar.
"Terdapat lebih 1,200 SRJKC di negara ini, adalah ia cukup untuk dibahagikan antara mereka?" katanya.
Jumaat lalu, Presiden Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Ong Chiaw Chuan juga berpendapat peruntukan sebanyak RM50 juta untuk SRJKC adalah tidak mencukupi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan