shahbudindotcom
Salah
satu perkara yang menjadi perbualan ramai dalam Bajet 2017 yang
dibentangkan Najib Razak Jumaat lalu ialah TN50 atau Transformasi Tahun
2050 yang secara jelasnya akan memadam Wawasan 2020 yang merupakan ilham
Tun Mahathir Mohamad.
Dalam
ucapan belanjawannya itu, Najib berkata, TN50 adalah azimat dan harapan
masa kini untuk menggantikan Wawasan 2020 yang harus dibiarkan sebagai
legasi yang berlalu pergi.
Dengan
mencipta TN50, ia bukan saja bermakna Wawasan 2020 tidak lagi menjadi
sebutan, malah pastinya juga membuatkan ia akan terus dilupakan.
Berduyun-duyunlah pemimpin UMNO selepas ini akan bercakap mengenai TN50 dalam perbualan, ucapan serta sebutan harian.
Tidak
merobohkan KLCC, Putrajaya atau Seri Perdana, legasi Tun Mahathir yang
paling awal dilenyapkan oleh Najib, sesuai dengan desakan bertali arus
oleh pemimpin-pemimpin UMNO ialah Wawasan 2020.
Dalam
ucapannya ketika membentangkan Bajet 2017, Najib juga menyebut
pengisian untuk program TN50 akan dikendalikan oleh Kementerian Belia
dan Sukan atau KBS, tetapi akan dinaungi serta dipayungi oleh beliau
sendiri.
Kenapa
TN50 tidak dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri sendiri atau
diwujudkan satu unit khas kerajaan mengendalikannya? Bukankah ia satu
visi besar untuk negara?
Kenapa mesti diserahkan kepada KBS yang menterinya ialah Khairy Jamaluddin?
Adakah
pemilihan KBS sebagai pengendali TN50 semata-mata kerana Najib mahu
melihat penyertaan generasi muda yang lebih meluas atau disebabkan
program-program Khairy Jamaluddin seperti "FitMalaysia" sedang mendapat
sambutan hangat di seluruh negara, lalu beliau ingin "menumpang tuah"
daripadanya?
Adakah
dengan demikian, Najib bertujuan untuk mendapatkan sebanyak mungkin
sokongan golongan muda terhadapnya melalui KBS dan aura KJ, seterusnya
bukan saja untuk memastikannya menang dalam pilihanraya, bahkan juga
untuk berada lebih lama di puncak kuasa?
Adakah
dalam waktu yang sama, oleh kerana musuh Najib ialah Tun Mahathir,
maka KJ yang merupakan menantu Tun Abdullah Badawi, sengaja cuba
diprojekkan sebagai calon Perdana Menteri untuk menambahkan lagi "sakit
hati" musuh politiknya itu?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan