Mahkamah Seksyen Ipoh hari ini mencadangkan kes saman fitnah yang difailkan oleh Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin ke atas pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria diselesaikan diluar mahkamah.
Mohamad Nizar bersetuju dengan cadangan penyelesaian tersebut tetapi beliau meletakkan syarat agar Razman memohon maaf terhadap kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.
Razman yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat bagaimanapun enggan memohon maaf terhadap dakwaannya itu dan menuntut kes tersebut dibicarakan.
Sebelum ini, Nizar telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan balas yang difailkan oleh Razman yang ditetapkan untuk perbicaraan pada hari ini.
Dalam perbicaraan pagi tadi, peguam Mohamad Nizar, Asmuni Awi berhujah bahawa tuntutan balas tersebut tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan kerana defendan gagal untuk menyatakan dengan jelas di dalam tuntutan balas tersebut ucapan dan penulisan yang dikatakan memfitnah plaintif.
Asmuni juga berhujah bahawa tuntutan balas tersebut bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 apabila Razman di dalam tuntutan balasnya bertindak mewakili PAS Perak.
Asmuni di dalam hujahannya di hadapan mahkamah menjelaskan bahawa berdasarkan kepada seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966, PAS Perak hanya boleh memfailkan samannya terhadap Nizar jika ia difailkan oleh pegawai awam yang dilantik oleh parti dan didaftarkan di pejabat pendaftaran pertubuhan.
Hakim, D Sunita Kaur Jessy menetapkan 24 Novemberi ini sebagai tarikh keputusan bagi permohonan batal tuntutan balas defendan.
Selain Asmuni yang juga Bendahari Agung AMANAH, Mohamad Nizar diwakili oleh dua lagi peguam melalui tetuan Awi & Co manakala Razman diwakili tiga peguam yang diketuai oleh Zamri Ibrahim.
Tahun lalu, Mantan Menteri Besar Perak itu memfailkan tuntutan fitnah sebanyak RM3 juta terhadap Razman yang didakwa memfitnahnya sebagaimana artikel yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015, bertajuk : Pendekatan Nizar mirip DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan