shahbudindotcom
Ramai
orang nampaknya amat teruja dengan soalan-soalan yang ditanyakan oleh
bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah berkaitan 1MDB ketika
membahaskan Bajet 2017 di Parlimen semalam, meskipun sebahagian
pertanyaan itu sebenarnya adalah biasa-biasa saja.
Misalnya,
soalan mengapa 1MDB ditubuhkan, pakcik saya yang hanya seorang guru
pencen sudah menanyakan soalan itu kepada saya kira-kira lebih setahun
yang lalu kerana menurutnya, bukankah kerajaan sudah ada badan
pelaburannya sendiri iaitu Khazanah Nasional untuk menjalankan aktiviti
pelaburan?
Sebab
itu, bila baru sekarang Husni bertanyakan soalan itu, kita juga mahu
bertanya kepadanya, kenapa sejak dulu ketika sama-sama berada dalam
kabinet, beliau tidak menyoal sendiri kepada Najib?
Dalam
pada itu, barangkali sebahagian soalan-soalan itu Husni sendiri tahu
jawapannya, manakala sebahagian yang lain mungkin tujuannya kerana mahu
Najib Razak sendiri menjawabnya di Parlimen. Hanya Tuhan yang tahu
tujuan dan nawaitu Husni itu.
Tidak
perlu juga rasanya didetailkan apa soalan-soalan yang dibangkitkan oleh
Husni itu kerana video ucapan beliau dan transkrip mengenainya sudah
bersepah-sepah di media sosial dan whatsapp grup sekarang ini.
Bagi
mereka yang sudah mengikuti isu 1MDB ini sejak dulu, masalah dan
kepincangan mengenai syarikat pelaburan yang ditubuhkan Najib itu
sebagaimana yang dibangkitkan oleh Husni memang sudah lama dalam
perhatian ramai.
Hal-hal
berkaitan wang pencen RM4 bilion yang kononnya dipinjam untuk
perlombongan, terbitan bon, Aabar PJS Ltd, IPIC, Bandar Malaysia,
mengapa tiada tindakan terhadap pengurusan 1MDB, kes di mahkamah
timbangtara sehinggalah kepada tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak
berkuasa Singapura, Switzerland dan Amerika, semuanya adalah
kebimbangan yang ada di hati rakyat mengenai tingkahlaku Najib yang
dianggap membahayakan masa depan negara serta diperbualkan di mana-mana.
Tidak
ada sesiapa yang bersetuju dengan segala kemelut 1MDB, lebih-lebih lagi
apabila kemudiannya dalam akuan Najib ada wang RM2,600 juta, Riza Aziz,
anak tirnya tiba-tiba jadi tauke filem di Hollywood sambil mampu
membeli banyak hartawan mewah di luar negara, percutian di kapal mewah
bersama Jho Low dan pelbagai kecurigaan yang lain yang berlaku silih
berganti.
Tetapi
ketika segala kemelut itu berlaku, Husni adalah Menteri Kewangan Kedua
dan beliau pernah ditugaskan oleh kabinet untuk menjadi jurucakap
mengenai sebarang isu berkaitan 1MDB.
Soalnya,
adakah waktu itu beliau pernah bertanya apa-apa soalan yang tidak
difahaminya sekarang, sama ada kepada Najib sendiri mahupun kepada
pengurusan 1MDB?
Jika dulu tidak pernah bertanyakan sebarang soalan, kenapa hanya baru sekarang mahu bertanya?
Kenapa
juga waktu itu beliau tidak berusaha mencari jawapan atas kapasitinya
sebagai menteri dan jika maklumat didapati disembunyikan atau jawapan
yang diperolehi tidak memuaskan hatinya atau jelas ada "kong kali kong"
dalam 1MDB, atas dasar apa beliau sanggup kekal bersekongkol duduk dalam
kabinet bertahun-tahun lamanya?
Perlu
diingat bahawa Husni meletakkan jawatan bukan disebabkan tidak setuju
dengan 1MDB atau enggan bersama dengan ketidakjujuran Najib berkaitan
syarikat pelaburan itu, tetapi hanya kerana tidak mahu dipindahkan ke
kementerian lain yang dianggapnya bertentangan dengan hasrat hatinya
mahu kekal di Kementerian Kewangan sehingga pencen.
Husni
tidaklah seperti Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal atau Mukhriz Mahathir
yang berani bersuara mengenai 1MDB ketika masih berjawatan dan akhirnya
sanggup hilang kedudukan serta jawatan kerananya.
Beliau
berundur hanya kerana tidak setuju dipindahkan dari lubuk Kementerian
Kewangan. Husni jauh sekali sedia meletakkan jawatan kerana isu 1MDB,
sebaliknya hanya pertukaran kedudukan dan jawatan yang membuatkannya
berundur, satu tindakan yang terlalu kecil dari segi harga perjuangan.
Bayangkan,
apa jadi jika dalam rombakan tempohari, Najib tiada perancangan untuk
menukarkan Husni atau bersetuju untuk terus mengekalkannya lagi sebagai
Menteri Kewangan Kedua?
Di mana dan mirip ke mana suaranya sekarang ini?
Mungkin
mustahil soalan-soalannya semalam masih dapat dengari di Parlimen,
tetapi adakah Husni masih mahu bertanyakannya secara bisik-bisik atau
ketika pertemuan empat matanya dengan Najib?
Ada
kawan-kawan berkata, soalan-soalan Husni di Parlimen semalam adalah
gambaran ingin menebus rasa bersalah dan tekanan perasaan yang ada dalam
dirinya selama ini. Beliau mungkin mahu menebus dosa dan kesalahan
silamnya.
Namun,
ia adalah tindakan yang terlewat, tambahan lagi jika disedari bahawa
pengunduran dirinya daripada kabinet bukan ada apa-apa kaitan dengan
1MDB. Cuma tidak mahu dipindah keluar daripada Kementerian Kewangan
saja.
Malah,
jika sejak 2009 atau tahun-tahun kemudiannya, beliau sedar ada
kesalahan dan kepincangan dalam 1MDB yang ditubuhkan oleh Najib yang
dipapancaturkan oleh Jho Low, sebaliknya Husni hanya mampu mendiamkan
diri, tidak bertanyakan soalan, jauh sekali untuk menjadi seberani
Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz, beliau tetap bersalah dari segi amanah
kepada seluruh rakyat Malaysia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan