Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Keengganan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr
Khairuddin Aman Razali mungkin ada kaitan dengan sokongan mufti-mufti
lain terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara
Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata demikian mengulas
kesediaan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) Dr Rozaimi Ramle untuk berdebat dengan Khairuddin,
sebagaimana dimaklumkan semalam.
"Jika Asri yang berdebat, susah juga untuk beliau. Sebab mufti yang
lain, seperti Mufti Wilayah Persekutuan sudah nyatakan wajib sokong (RUU
355). Takkan dia mahu sanggah pendapat mufti lain. Sebab itu beliau
tidak berani," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Sebelum ini Kamarul menggesa agar debat itu diadakan di antara Asri dan
Khairuddin memandangkan mufti Perlis itu lantang mengkritik ucapan
pemimpin PAS itu.
Khairuddin, yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus bersetuju dengan
jemputan debat yang ingin diusahakan MAPAN tanpa meletakkan sebarang
syarat.
Bagaimanapun usaha mendapatkan Asri untuk bersetuju dengan debat itu dilaporkan masih tidak berjaya sehingga kini.
Semalam, Rozaimi menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan
Khairuddin dan meminta agar masa, tempat dan format acara itu ditetapkan
dalam tempoh lima hari, bermula semalam.
Mengulas hal itu, Kamarul berpendapat keenganan Asri untuk berdebat
mungkin merasakan tahap dirinya 'tidak sepadan' dengan Khairuddin.
"Sepatutnya Asri yang menyahut cabaran itu sebab isu yang dipertikaikan
sekarang adalah isu yang dibangkitkan oleh Asri. Pada 2013 dahulu pun
mereka pernah berwacana sekali dalam suatu forum.
"Jadi apabila Rozaimi yang sahut cabaran nampak seolah-olah Asri
menganggap tahap dirinya lebih tinggi, tidak sepadan dengan Khairuddin.
"Asri takut untuk berdebat dengan Khairuddin, jadi beliau hantar anak buahnya," ujar Kamarul.
Isu ini menjadi hangat selepas Rozaimi menyatakan kesediaan berdebat
dengan Khairuddin yang mahu bersemuka dengan pihak yang berkata pindaan
Akta 355 tidak wajib.
Dalam rakaman 4.30 minit menerusi sebuah ceramah yang dikatakan
berlangsung di Kelantan dan kini tersebar di Internet, Khairuddin
dipetik sebagai berkata jika ada mufti yang berkata pindaan akta itu
tidak wajib, kepalanya patut disekeh.
Ujar pemimpin PAS itu, pindaan tersebut wajib disokong supaya jumlah
hukuman sebat bagi penzina, qazaf dan minum arak dilaksanakan seperti
dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.
Kamarul dalam pada itu berkata bahasa yang digunakan Khairuddin dalam
ceramahnya itu tidak perlu dijadikan isu memandangkan beliau hanya mahu
isi kandungannya mudah disampaikan kepada penonton.
"Ceramah dengan orang kampung... Sepatutnya tidak diambil perhatian
sangat. Anggap ia bukan perkara serius. Ceramah dengan masyarakat di
luar bandar, di Pantai Geting, (Khairuddin) hendak tunjukkan
ketidaksetujuannya terhadap Asri dengan cara yang mudah difahami,"
ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan