HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Jun 2017

Rakyat bakal terima faedah perjanjian DRB – Geely

Mohd Haizal Yatiran
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group, Li Shufu (empat kanan) menyaksikan DRB-HICOM Berhad yang diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar (empat kiri) dan Zhejiang Creely Holding Group yang diwakili oleh Presiden Zhejiang Geely Holding Group, An Conghui (lima kanan) bersalaman dan bertukar dokumen perjanjian turut serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua kanan) dan Pengerusi DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Mohd Khamil Jamil (empat kiri) di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKZAIREY SALIM


KUALA LUMPUR – Industri automotif negara hari ini melangkah satu lagi langkah ke hadapan dengan termeterainya perjanjian akhir antara DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dan Zhejiang Geely Holdings Group Co Ltd (Geely) dari China hari ini.

Ia juga bakal mengembalikan kegemilangan Proton.

Melalui perjanjian tersebut, sudah pasti perkara utama yang menjadi fokus umum adalah kebaikan yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia sama ada secara langsung atau tidak.

Melalui perjanjian itu, sudah pasti peluang pekerjaan mampu diwujudkan terutama penggunaan loji di Tanjung Malim yang bakal digunakan sepenuhnya kelak.

Secara tidak langsung, perjanjian ini sedikit sebanyak dapat menampung atau mengurangkan peratusan kadar pengangguran yang juga merupakan antara isu utama di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya, perkara tersebut bakal direalisasikan berikutan loji di Tanjung Malim itu juga bakal memproses kenderaan Volvo.

“Malaysia juga akan bakal menjadi negara utama kepada Geely di rantau ini, yang membolehkan loji moden di Tanjung Malim digunakan pada kapasiti maksimumnya, bakal mewujudkan pekerjaan baru di dalam dan luar negara.

“Malah, loji Tanjung Malim juga akan menyaksikan kereta Volvo dipasang di sana,” katanya.

Justeru, keputusan untuk menjalinkan kerjasama serantau dengan Geely merupakan langkah yang tepat berikutan sejarah ekonomi syarikat itu yang telah memiliki Volvo sejak tahun 2010.

Melalui pengambilalihan Volvo yang juga memberi pelbagai persepsi kepada ramai pihak sebelum ini, akhirnya telah terbukti dengan keuntungan operasi sebanyak 1.25 bilion dolar AS, yang juga merupakan terbesar dalam sejarah 90 tahun Volvo.

“Geely telah memiliki Volvo sejak tahun 2010, pengambilalihan yang menjelikkan beberapa pihak, tetapi berjaya dibuktikan kejayaannya kemudian.

“Tahun lalu, Volvo menandakan keuntungan operasi sebanyak 1.25 bilion dolar AS, yang terbesar dalam sejarah 90 tahun pengeluaran kereta Sweden yang terkenal itu,” tambah Najib.

Seterusnya, beliau berkata, Geely merupakan syarikat yang tepat bagi menganntikan pihak kerajaan sebagai pengemudi DRB Hicom yang menjadi pemegang 51 peratus ekuiti manakala 49 peratus lagi oleh Etika Automotive Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: