KUALA LUMPUR: Malaysia, Indonesia dan Filipina telah mengulangi
komitmen kerajaan masing-masing untuk menangani dengan berkesan cabaran
sedia ada dan cabaran rentas sempadan yang baru muncul serta ancaman
yang berpotensi menggugat kestabilan dan kesejahteraan negara-negara di
rantau itu.
Ketiga-tiga negara juga akan mengkaji untuk meningkatkan kerjasama
dalam menangani ancaman keganasan dan ekstremisme yang dihadapi rantau
ini.
Perkara ini terkandung dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh
Kementerian Luar Malaysia selepas mesyuarat tiga hala menteri luar
Malaysia dan Indonesia serta setiausaha hal ehwal luar Filipina di
Manila pada Khamis.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah
Aman, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dan Setiausaha Hal Ehwal Luar
Filipina Alan Peter S. Cayetano.
"Para menteri menimbulkan kebimbangan terhadap insiden keganasan dan
ekstremisme di negara masing-masing baru-baru ini dan mengulangi hasrat
untuk bekerjasama bagi membangunkan dan melaksanakan langkah-langkah
serta strategi bagi memerangi keganasan secara bersama," kata kenyataan
itu.
Kenyataan itu berkata, para menteri telah membincangkan dan bersetuju
ungtuk menugaskan pegawai kanan mereka untuk mempertimbangkan Pelan
Tindakan, termasuk menggalakkan pembangunan sosial dan ekonomi khususnya
di kawasan bersempadan ketiga-tiga negara dan menyekat aliran
pembiayaan pengganas.
Pelan Tindakan itu, yang perlu dilaporkan dalam mesyuarat akan datang
dijadual diadakan di Indonesia pada Oktober tahun ini, juga termasuk
meningkatkan usaha dan kerjasama dalam menangani punca masalah itu dan
mengenal pasti punca yang mencetuskan tindakan ekstremisme.
Di samping itu, para menteri mengulangi pandangan yang dikongsi bersama
bahawa kejayaan dalam menangani ancaman rentas sempadan secara berkesan
hanya boleh dicapai melalui pembangunan strategi yang efektif,
kerjasama dalam keselamatan dan perisikan pada skala serantau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan