PUTRAJAYA: Kos pengurusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dianggarkan
mencecah RM400 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan
Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata ia termasuk bagi menampung kos sewaan, perolehan peralatan, pembayaran elaun serta honorarium.
Semua pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat mengira undi telah
dikenal pasti dan sedia untuk digunakan apabila diperlukan, katanya
kepada agensi berita di sini.
Sejumlah 250,000 petugas sementara, katanya, dijangka diperlukan bagi membantu mengendalikan PRU14 itu.
"Semua persiapan logistik juga telah dipastikan dalam keadaan baik dan
tersedia termasuk pusat mengundi, pengangkutan, helikopter dan
sebagainya," katanya.
Dalam memastikan proses RRU14 berlangsung secara telus dan adil, Mohd
Hashim berkata SPR menjangkakan 100,000 wakil atau ejen calon bertanding
akan menjadi pemerhati tetap terhadap segala proses pilihan raya.
Beliau berkata mereka terdiri daripada pemerhati di barung semakan SPR,
ejen tempat mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati semasa
proses pengundian berlangsung dan ejen mengira undi (EMU) yang bertugas
semasa proses pengiraan undi.
Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk pemerhati di luar pusat mengundi.
"Pendek kata, segala proses pilihan raya yang berlaku di dalam dan luar
tempat mengundi itu adalah dalam pengetahuan mereka (ejen calon dan
pemerhati).
"Pada PRU14 ini SPR akan pastikan semua calon yang bertanding
menghantar wakil atau ejen mereka untuk bertugas semasa proses pilihan
raya itu dijalankan," katanya.
Mohd Hashim berkata pada PRU kali ini, SPR akan menghebahkan nama wakil
atau ejen yang bertugas supaya rakyat tahu bahawa proses pilihan raya
itu berlaku dengan telus dan adil.
Justeru, katanya, parti-parti politik tidak perlu berasa bimbang dengan
ketelusan proses pilihan raya sedia ada yang diamalkan di negara ini.
"Dengan kehadiran ejen-ejen calon sebagai pihak ketiga, ia merupakan
bukti bahawa SPR tidak menafikan hak pemerhati untuk turut serta dalam
proses pilihan raya," katanya.
Selain itu, Mohd Hashim berkata SPR juga sedang menunggu maklum balas
daripada pemerhati-pemerhati antarabangsa termasuk dari negara anggota
Komanwel dan ASEAN yang diundang untuk PRU14.
Katanya, SPR turut melantik pemerhati tempatan terdiri daripada badan
bukan kerajaan (NGO) yang berkecuali serta wakil universiti.
Ditanya mengenai persiapan peribadinya memandangkan ini adalah kali
pertama beliau menerajui SPR dalam menguruskan PRU, Mohd Hashim mengakui
ia adalah cabaran besar yang menguji keupayaan serta kemampuannya.
Secara peribadi, saya menghadapinya dengan pelbagai perasaan, namun
saya optimis akan dapat melakukannya dengan terbaik kerana turut dibantu
oleh barisan ahli SPR, pegawai sekretariat dan petugas-petugas pilihan
raya yang komited serta berpengalaman," katanya.
Menyifatkan tujuh pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri Sarawak
ke-11 lepas sebagai medan latihan, Mohd Hashim berkata ia pengalaman
amat berharga yang akan digunakannya untuk menguruskan PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan