Ahli Majlis Tertinggi Umno itu baru-baru dituduh menerima RM3 juta daripada kontraktor projek untuk khidmat rundingan tertentu yang tidak diberikan.
Beliau diberikan notis tuntutan oleh peguam kontraktor itu baru-baru ini.
Azeez mendakwa beliau menjadi mangsa “guna nama”, situasi yang menyebabkan namanya tercemar teruk menjelang pilihan raya umum akan datang ini, katanya lagi.
Bercakap pada sidang media di Hotel Tabung Haji di Pulau Pinang hari in, beliau mengatakan akan menyaman pihak terlibat bagi membersihkan namanya, Tabung Haji dan Umno.
“Saya sudah bercakap dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang. Ramai pemimpin pembangkang mengeluarkan tuduhan kepada saya, Tabung Haji dan Umno.
“Tabung Haji dan Umno tiada kena mengena dengan perkara ini tetapi institusi ini turut diheret dalam serangan ke atas saya,” katanya.
Azzez adalah pengerusi Tabung Haji.
Azeez berkata dakwaan beliau menerima wang dari Consortium Zenith Construction Sdn Bhd menyebabkan rakyat kini mengecamnya dan Umno serta mempersoalkan sama ada beliau layak menerajui Tabung Haji.
“Orang sekarang kata Umno yang dapat duit tapi parti lain yang dikecam. Ada juga yang bertanya jika Azeez layak menerajui Tabung Haji. Di Baling, orang kata saya ambil rasuah.
“Ini adalah pembunuhan karakter, seperti dikata peguam saya. Kita sangat hampir dengan pilihan raya umum sekarang…sudah tentu akan ada lebih banyak serangan kepada saya dan Umno,” katanya.
Azeez mengatakan beliau sedar hubungannya tidak baik dengan musuh politiknya, tetapi itu tidak memberikan mereka hak untuk memfitnahnya, terutama sekali di zaman media sosial apabila perkara boleh tular sekelip mata.
“Saya perlu bersihkan nama saya. Paling penting, saya perlu lindungi nama Tabung Haji.
“Saya akan saman mereka yang memfitnah saya, Tabung Haji dan Umno. Saya akan ikut undang-undang. Saya akan lawan sampai ke titisan darah terakhir,” katanya.
Azeez juga menunjukkan surat diterima peguamnya, Messrs Jahaberdeen and Co pada 3 Mac daripada firma guaman Zenith, Syahrul & Hamidi.
Katanya, firma guaman mewakili pemaju itu sudah memohon maaf kerana kesilapan itu, mengakui yang ahli perniagaan itu menggunakan nama Azeez menyebabkan pemaju percaya yang ahli perniagan itu mewakili Azeez untuk berurusan dengan mereka.
Kerana itu, peguam pemaju memaklumkan Azeez yang mereka sudah menarik balik dan membatalkan notis tuntutan terhadapnya.
Peguam Zenith itu juga mengatakan mereka tidak berniat memfitnahnya atau mempunyai niat jahat terhadapnya.
Zenith juga bimbang tentang situasi menggunakan nama itu dan kesal dengan “liputan media tidak dihendaki yang tidak bertanggungjawab tersebar sejak beberapa hari lalu”.
“Untuk rekod, pelanggan kami (Consortium Zenith) tidak terlibat dalam melaporkan dan mengedarkan tuntutan anak guam kami, terutama sekali kandungan surat (notis tuntutan) bertarikh 23 Februari kepada mana-mana pihak ketiga dan media,” kata peguam pemaju itu lagi.
Surat itu juga mengatakan Zenith bersedia menawarkan bantuan kepada Azeez bagi menghentikan liputan negatif media kepadanya kerana perkara itu.
Azeez berkata berita beliau diberikan notis tuntutan itu disiarkan portal berita Malaysiakini tular sejak Selasa lalu, walaupun beliau hanya menerima notis itu dua hari kemudian.
Katanya, beliau sudah memaklumkan Zenith menerusi peguamnya yang beliau tidak mempunyai kaitan dengan rundingan tutup siasatan atau syarikat itu.
Peguamnya, Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata mereka akan mengkaji semua berita yang disiarkan mengenai perkara itu bagi menentukan pihak mana memfitnah Azeez.
“Kami akan menilai semua rencana dan video. Jika ada asas, kami akan saman,” katanya.
Zenith menang tender terbuka untuk membina terowong dasar laut dan lebuh raya di Pulau Pinang pada 2013. Projek itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Agensi itu kembali menyiasat projek itu pada 2016.
Minggu lepas, SPRM menahan seorang ahli perniagaan yang didakwa dibayar suapan sebanyak RM19 juta oleh Zenith bagi menutup siasatan. Semalam, seorang lagi ahli perniagaan ditahan SPRM kerana menerima RM3 juta sebagai upah menghentikan siasatan SPRM.
Kedua-dua mereka kini ditahan reman untuk membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan