HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Mac 2018

Seminggu selepas serang Kuok, Najib kata konfrotasi kaum bukan cara Malaysia

Seminggu selepas serang Kuok, Najib kata konfrotasi kaum bukan cara Malaysia
Malaysia adalah negara yang aman dan sejahtera. Dan ini adalah kerana nenek moyang kita dan generasi terdahulu memilih untuk berkompromi dan bekerjasama berlawanan dengan konfrotasi dan mementingkan kepentingan sempit kaum masing-masing, kata Najib Razak di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin
 
PERPADUAN kaum dan “berkompromi” menjadi prinsip panduan pembinaan negara, kata Perdana Menteri Najib Razak, kenyataan yang kelihatan bertentangan dengan nada serangan ke atas taikun Robert Kuok minggu lepas.

“Malaysia adalah negara yang aman dan sejahtera. Dan ini adalah kerana nenek moyang kita dan generasi terdahulu memilih untuk berkompromi dan bekerjasama berlawanan dengan (tidak menggunakan) konfrotasi dan mementingkan kepentingan sempit kaum masing-masing,” katanya di Putrajaya hari ini.

“Inilah prinsip yang memandu kita bila menyentuh soal pembangunan negara,” katanya pada majlis penutup Kejohanan Taekwando Terbuka Malaysia 2018 di Putrajaya hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan seminggu selepas Najib dan pemimpin kanan partinya menyerang Kuok kerana didakwa membiayai DAP.

Serangan itu kemudiannya mencetuskan kemelut antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz dan MCA kerana bahasa kasar digunakan Nazri menyelar Kuok.

MCA yang diterajui Liow Tiong Lai turut mendesak Nazri memohon maaf tetapi sehingga kini menteri yang lantang bersuara itu masih enggan.

Majlis kejohanan taekwando dihadiri Najib hari ini menyaksikan penyertaan 607 peserta dari 19 negara dianjurkan oleh Taekwando Malaysia. Turut hadir ialah Presidennya Senator SA Vigneswaran, Presiden Persekutuan Taekwando Dunia Chungwon Choue dan Menteri Azalina Othman Said.

Sebuah larian kebajikan turut dianjurkan di Putrajaya hari ini bagi mengutip dana untuk Yayasan Kemanusiaan Taekwando berpangkalan di Switzerland.

Najib mengatakan “tema perpaduan adalah paling relevan” untuk persefahaman kaum dan agama di negara seperti Malaysia.

“Dan saya gembira taekwando mempunyai peranan yang sangat positif bagi mengalakkan (persefahaman) dan mengukuhkan masyarakat berbilang kaum kita.

“Biar kita ketepikan semua perbezaan kita dan memainkan peranan kita selaku ahli sukan sejati dalam membina budaya dan masyarakat penyayang yang sangat penting untuk mengekalkan Malaysia yang harmoni dan berpadu.”

Tiada ulasan: