HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Mac 2018

Kesopanan dan kesusilaan semasa PRU14

 Hasil carian imej untuk foto mahathir muhammad

THE MALASIAN INSIGHT /Ishak Sairozi


GENDANG pilihan raya sudah dipalu.

Gendang perang dua atau lebih tiga penjuru sedang dipalu oleh kesemua wakil rakyat, parti yang bertanding serta tidak kurang juga gamatnya tempik soldadu daripada penyokong mana-mana parti.

Baik Barisan Nasional (BN), mahupun Pakatan Harapan (PH) ataupun Gagasan, kita semua akan meraikan proses demokrasi lima tahun sekali yang akan membawa kita ke arah menentukan siapa yang akan memimpin negara majmuk berteraskan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan ini.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini memperlihatkan senario yang jelas berbeza berbanding senario-senario PRU13 dan PRU12.

Pada PRU 14 kali ini sekali lagi kita melihat bagaimana bekas perdana menteri tidak bersama dengan kerajaan pada masa kini untuk berjuang dalam pilihan raya.

Ya, frasa sekali lagi itu memang sengaja diletakkan kerana Dr Mahathir Mohamad bukanlah satu-satunya bekas perdana menteri yang tidak menyokong pimpinan kerajaan ketika pilihan raya.

Ini kerana suatu masa dahulu pimpinan Dr Mahathir sendiri pernah dikecam oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

Sebagaimana Najib Razak diserang ketika memimpin kerajaan dengan kata-kata rasuah, kronisme, tidak telus dan sebagainya, Dr Mahathir  juga menerima nasib yang sama apabila Tunku sendiri mengkritik banyak tindakan Dr Mahathir yang disifatkan sebagai membebankan rakyat.

Ketika itu, isu-isu sama sahaja dibangkitkan - negara bakal muflis, kos sara hidup tinggi, rasuah, dan kronisme. Jadi, sejarah kembali berulang dengan skrip yang sama, cuma pemainnya sahaja yang berbeza.

Tidaklah keterlaluan untuk kita meraikan perbezaan politik ini dengan seni-seni politik dalam memenangi hati rakyat. Cuma ada satu hasrat yang diharapkan dapat dikendong sebagai satu harapan oleh kesemua pemain politik pada PRU14 ini.

Adalah amat diharapkan agar baik golongan pemimpin parti, golongan pentaksub parti dan golongan media parti, untuk senantiasa menjaga dengan baik sama ada lisan, tulisan dan ehsan dalam diri masing-masing. Sentiasalah bersopan dan mempunyai tatasusila sepanjang kempen berlangsung sehinggalah tamatnya pilihan raya tahun ini.

Setiap pihak, amatlah diharapkan agar mampu mendukung tinggi prinsip yang diajar sejak di bangku sekolah iaitu prinsip rukun negara kelima yakni "Kesopanan dan Kesusilaan".

Berpeganglah pada dua kata kunci ini, nescaya PRU14 yang penuh demokrasi akan berjalan dengan jayanya.

Mampukah kita semua wahai rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa penuh santunnya, dan akhlak yang elok dijaga semenjak dalam buai dan pangkuan bonda?

Mampukah kita untuk mengelak diri daripada melabel dan menggelar orang lain dalam usaha menjatuhkan lawan kita?

Sejenak ditampilkan beberapa ayat yang sering digunakan seperti "Baziran Nasional, Pakatun Harapan, macai, bebal, DAPig, Anwar Jubori", dan kafir-mengkafir, ini semua adalah sampah-sampah yang kita laungkan agak lama sejak zaman dahulu lagi.

Ada pihak yang sengaja mencetuskan gelaran-gelaran ini.

Dan kesan buruknya ia telah mewujudkan balasan daripada pihak satu lagi.

Kesan jangka masa panjangnya, sehingga ke hari ini, perkataan-perkataan sampah yang digunakan ini masih wujud sehingga ke hari ini.

Bagi yang pernah menggunakan segala perkataan ini dan perkataan selainnya, ada satu soalan yang harus anda tanya kembali pada diri.

Adakah mulut yang sama menuturkan perkataan ini digunakan untuk mencium kedua ibu bapa yang kita kasihi?

Saya percaya, politik 2018 tidak menekankan serangan peribadi, kata-kata lucah dan juga gelaran-gelaran sampah kepada pemain politik.

Ini dapat dilihat daripada peribadi ketua-ketua Pemuda setiap parti.

Lihat sahaja kemesraan dan kesantunan Khairy Jamaluddin yang sentiasa menjaga tutur katanya.

Lihat pula bagaimana Syed Saddiq yang tidak mengamalkan balasan politik kotor atau membalas carutan kepada mereka yang mencarutkannya.

Dan saya percaya, Gagasan juga seharusnya sedar bahasa-bahasa sampah adalah harus dielakkan kerana agama melarang berkata sesuatu yang tidak elok yang boleh melukakan hati.

Maka dengan ini, adalah sekali lagi diharapkan tiada isu-isu yang akan merencatkan keharmonian Malaysia khasnya dalam pilihan raya ke-14 ini.

Ini adalah waktu yang sesuai untuk kita semua meraikan politik yang penuh dengan adab dan tatasusila.

Berhujahlah dengan fakta dan teguran yang membina. Kritik dan perdebatkan manifesto dengan geliga tanpa perlu menyerang peribadi atau bernista.

Jangan rosakkan susu dengan setitik nila. Tidak kira apa jua keputusan PRU14 kali ini, terima dengan hati terbuka tanpa makian dan cacian yang merosakkan imej bangsa dan budaya.

Hormati yang tua, sanjungi yang muda, kerana walau apa pun warna baju dan bendera yang kita pakai dan kibar, walau apa juga laungan keramat dan azimat serta amanat yang kita bawa, kita semua adalah bersaudara.

Jika bukan saudara seagama, kita saudara satu Malaysia, malah saudara satu umat - umat manusia.

Demi tanah air, bangsa, agama dan budaya. Ayuhlah kita meraikan pilihan raya, dengan penuh prinsip kesopanan dan kesusilaan. – 22 Mac, 2018.

* Ishak Sairozi adalah eksekutif Yayasan 1Malaysia. 

Tiada ulasan: