Sayap pemuda PKR menafikan berlakunya kemelut dalaman parti itu dan menyifatkan ia sebagai permainan media untuk memburukkan imej PKR.
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Syed Badli Shah Syed Osman sebaliknya berkata, perpaduan dalam PKR amat utuh.
"Permainan media arus perdana yang kononnya PKR sedang berpecah belah berkaitan isu calon khususnya di Selangor adalah cubaan jahat memburukkan imej PKR.
"Umum mengetahui bahawa media arus perdana dikawal oleh BN. Justeru tindakan memainkan isu yang menggambarkan seolah-olah PKR sedang berantakan adalah pembohongan nyata dan berniat jahat.
"Hakikatnya perpaduan dalaman PKR adalah amat utuh dan kuat. Perbezaan pendapat ketika menetapkan calon-calon terbaik adalah perkara biasa dan sihat," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Syed Badli berkata, pegeseran yang dikatakan terjadi antara kem (penyandang parlimen Pandan) Rafizi Ramli dan (Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak benar.
Sebaliknya, kata Syed Badli, kedua-dua pemimpin PKR itu berganding bahu mempertahankan agenda perubahan.
"Senarai calon kini sudah dimuktamadkan dan seluruh kekuatan PKR sedang digembling menjadi satu tenaga untuk menggempur Umno dan BN.
"Hakikatnya BN kini yang berpecah belah seperti mana yang boleh dilihat di Wangsa Maju apabila terdapat jentera akar umbi BN yang tidak berpuas hati sesama sendiri.
"Serangan bertali arus terhadap Pakatan Harapan kini membuktikan bahawa BN semakin hampir ke penghujung nyawa," katanya yang menyeru anggota PKR bersatu padu.
Media sebelum ini menspekulasikan terjadi kemelut dalam PKR berhubung senarai calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) PKR bagi negeri Selangor.
Terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menafikan wujudnya kem-kem dalam PKR.
Spekulasi itu timbul setelah PKR dilihat mengambil masa yang agak lama dalam memuktamadkan calon selain khabar angin yang mengatakan Naib Presiden PKR Tian Chua berhasrat keluar parti kerana tidak dicalonkan di parlimen Batu yang disandangnya sebelum ini.
Tian Chua telah menafikan perkara itu, namun berpesan agar pimpinan parti "berhati-hati".
Semalam, Wan Azizah telah mengumumkan senarai calon PKR dan kemudian mengesahkan awal hari ini beliau akan bertanding di parlimen Pandan sementara anaknya, Nurul Izzah Anwar menggantikan tempatnya di Permatang Pauh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan