HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 April 2018

Bekas pemimpin PKR cabar Azmin di Bukit Antarabangsa

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GOMBAK: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kapar, Ahmad Kamarudin akan mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.
 
Sehubungan itu, beliau mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini dan menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) serta bertanding menggunakan tiket parti berkenaan.
 
Katanya, beliau yang berjuang bersama PKR sejak lebih 20 tahun lalu hilang kepercayaan kepada parti yang gagal membela rakyat dan bersekongkol dengan musuh.
 
Menurut beliau, sejarah penubuhan PKR adalah untuk menentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memperalatkan parti itu untuk kepentingan sendiri.
 
"Jika dulu kita memperjuangkan slogan anti-Mahathir, tetapi kini mengagungkan pemimpin itu dengan melaungkan 'Hidup Mahathir'.
 
"Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga terlalu lemah untuk mentadbir parti dan Mohamed Azmin mengambil kesempatan di atas kekurangan itu," katanya pada sidang media di Bukit Antarabangsa, di sini, hari ini, 
 
Turut hadir pada sidang media berkenaan, Presiden PRM, Ariffin Salimon yang turut mengesahkan parti itu akan calonkan Ahmad di DUN Bukit Antarabangsa.
 
Mengulas keputusan mencabar Mohamed Azmin di DUN Bukit Antarabangsa, Ahmad berkata, kerosakan Selangor bermula di kawasan itu dan ia perlu diperbetulkan demi kepentingan rakyat.
 
Katanya, beliau juga akan menghantar laporan kepada SPRM esok, berhubung penyelewengan dan salah guna kuasa dilakukan Mohamed Azmin selama menjadi Menteri Besar Selangor.
 
Bagaimanapun, beliau yang menjadi Ketua AMK Cabang Kapar pada 2011 hingga 2014 enggan mendedahkan butiran laporan itu.
 
"Saya harap PAS dan Barisan Nasional (BN) berlapang dada tidak bertanding di DUN Bukit Antarabangsa bagi membolehkan PRM dan PKR bertanding satu lawan satu.
 
"Saya akan membawa pelbagai isu terutama sikap pemimpin PKR yang hanya suka memfitnah pemimpin BN dan PAS, tetapi hanya berdiam diri apabila membabitkan pemimpin mereka terjebak rasuah serta salah guna kuasa," katanya.
 
 

Tiada ulasan: