KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan
kebimbangan apabila ancaman fitnah yang disebutnya sebagai ‘Tsunami
PHitnah’ mula melanda musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam
keghairahan masing-masing menumbangkan lawan.
Menerusi akaun Twitter beliau hari ini, Najib berkongsikan gambar yang
ditular kononnya 15 juta sarung jari plastik sudah dibawa masuk ke
Malaysia supaya penggunanya boleh mengundi berulang kali walaupun jari
telah dicelupkan dengan dakwat semasa proses pengundian.
Sebaliknya berdasarkan perkongsian itu, produk berkenaan sebenarnya
merupakan jari palsu untuk menggantikan jari-jari mereka yang terpotong
terutama akibat pergaduhan kumpulan Yakuza di Jepun.
“Ini bukan kali pertama saya berkongsi perkara ini, tetapi dalam musim
pilihan raya ini semakin teruk fitnah-fitnah dilontarkan pembangkang,
bagaikan ‘Tsunami PHitnah’.
“Jadi saya ingin ingatkan sekali lagi, usahlah kita jadi tali barut dan
kuda tunggangan golongan tidak bertanggungjawab ini,” katanya menerusi
status dalam akaun media sosial beliau.
Beliau memohon agar rakyat tidak menjadi ejen yang menyebarkan
fitnah-fitnah tersebut kerana gejala itu boleh merosakkan masyarakat dan
negara.
“Tsunami PHitnah ini boleh memporak-perandakan hubungan persahabatan,
kekeluargaan malah lebih teruk lagi mampu membawa kehancuran dan
kebinasaan kepada negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan