Bibit kebangkitan rakyat yang kebanyakannya Melayu yang kian kelihatan bersama-sama kempen Pakatan Harapan (PH) di beberapa kawasan sekitar negeri Johor, sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), diharap akan terus merebak ke seluruh negara.
Ketua Menteri Sementara Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata demikian dalam Majlis Jamuan Malam Kutipan Dana Pilihan Raya Umum di Dewan St. Anne, anjuran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kawasan Parlimen Bukit Mertajam di sini.
“Di Pasir Gudang iaitu kawasan Menteri Besar (‘Sementara’) Johor, dulu kalau kita (pakatan pembangkang) buat ceramah, orang berceramah adalah lebih ramai daripada orang yang dengar ceramah.
“Tapi, sekarang, di Pasir Gudang (menyaksikan) 15,000 orang hadir, 90 peratus adalah orang Melayu.
“Di sebuah kampung kecil di Muar, 12,000 orang hadir dan 75 peratus adalah orang Melayu.
“Di beberapa kawasan memang berlaku kebangkitan pengundi Melayu…kita pergi ke seluruh negara dan kita lihat pengundi Melayu sedang berubah,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, menurut laporan di Facebook beliau.
Katanya, PH ada harapan untuk memenangi PRU14 ini sekiranya peratusan keluar mengundi pada 9 Mei ini adalah melebihi 80 peratus.
Satu lagi faktor kemenangan PH, menurut Guan Eng, adalah ‘Tsunami Melayu’ iaitu kebangkitan pengundi Melayu teramai menyokong pakatan pembangkang tersebut sempena PRU14 ini.
Selain calon Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Chong Eng (Exco ‘Sementara’ Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti merangkap calon Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN Bagan Lalang) dan Heng Lee Lee (calon KADUN Berapit) antara pemimpin PH negeri yang menyampaikan pidato di depan lebih 3,000 hadirin di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan