HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Ogos 2018

100 hari tempoh singkat


Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi
Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi
 
 
SHAH ALAM - Tempoh 100 hari disifatkan terlalu singkat untuk membuat penilaian dan mengukur secara adil bagi membandingkan pencapaian kerajaan PH dan BN.

Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sudah pasti jika dibandingkan pencapaian kedua-dua kerajaan ini, ia boleh diibaratkan umpama langit dan bumi.

Menurutnya, 100 hari pentadbiran PH, satu suasana adalah satu suasana baharu selepas 61 tahun BN memerintah kerajaan.

“Sudah pasti pencapaian BN dan PH bagaikan langit dan bumi kerana tempoh 100 hari terlalu singkat untuk nilai dan ukur tara secara adil.

“Namun apa yang dapat dilihat terdapat usaha pengasingan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman seperti meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Audit Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Dr Awang Azman berkata, perkara sama dilihat berlaku ke atas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang akan menjadi badan bebas kerajaan, yang tidak tertakluk di bawah jabatan perdana menteri seperti sebelum ini.

Menurutnya, perubahan tersebut mampu meningkatkan keyakinan rakyat mengenai isu integriti dan tadbir urus negara ditambah apabila Perdana Menteri tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Namun katanya, terdapat kerisauan masyarakat Melayu konservatif yang masih bimbang hak kaum dan status kedudukan Islam kerana PH dilihat kurang peka.

Antaranya termasuk isu lantikan peguam negara, isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC); pelantikan timbalan menteri pertahanan daripada kalangan bukan Bumiputera yang pertama kali berlaku pada abad 21 ini dan isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang seolah-olah diberi perhatian oleh PH.

“Ia juga termasuk pemberian hak kewarganegaraan dan penggunaan bahasa Cina serta Tamil dalam beberapa kenyataan urusan rasmi kerajaan. Isu ini dipanaskan lagi oleh peranan pembangkang melalui media sosial yang memberikan persepsi yang buruk terhadap PH.

“PH kurang ambil langkah secukupnya untuk untuk yakinkan Melayu dan ini disebabkan kedudukan PH belum lagi stabil sepenuhnya. Apa-apa yang menyentuh soal orang Melayu bermakna sokongan dan keyakinan terhadap PH akan merosot,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu PH mahu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menjadi Perdana Menteri dengan harapan dapat menangani isu lebih baik berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini kerana Anwar dikenali sebagai tokoh politik yang lebih peka isu bahasa, budaya dan kedudukan Melayu,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: