HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Ogos 2018

'Drama’ 20 hari di Dewan Rakyat

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
 
 
SHAH ALAM - Sepanjang 20 hari Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Rakyat ke-14 bersidang, pelbagai kejutan dan insiden telah disajikan.

Tirai dibuka dengan tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar dewan bagi membantah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Ia seterusnya mencetuskan pesanan diraja yang mencuit hati namun sarat makna untuk ahli-ahli Dewan Rakyat “Sila duduk, jangan lari” yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Persidangan buat pertama kalinya selepas berlaku pertukaran kerajaan ini 9 Mei lalu menjadi tumpuan seluruh pelosok negara terutama pemerhati dan rakyat negara ini hinggalah ke hari penangguhan persidangan berlangsung panas berkait skandal 1MDB.

Pada awalnya prestasi dipamerkan ahli-ahli Parlimen buat rakyat tutup mata dan telinga kerana banyak masa dihabiskan dengan pertikaman lidah hanya kerana perkara-perkara remeh.

Malah ada juga wakil rakyat kerajaan yang sudah lama menjadi pembangkang kelihatan kekok maka tidak hairanlah mereka masih terbawa-bawa cara pembangkang di Dewan Rakyat terutama ketika menjawab soalan.

Tumpuan kali ini boleh dialih kepada wakil rakyat BN yang pertama kali berada di barisan kiri yang diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Ketua Pembangkang.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan menunjukkan prestasi mengagumkan kali ini malah mereka turut dipuji kawan dan lawan.

Pak menteri dan timbalan yang kebanyakannya muka-muka baharu juga tidak kurang hebat berhujah cuma masih kelihatan ‘dendam kesumat’ yang terkeluar apabila bertemu buku dengan ruas.

Paling ketara apabila ada timbalan menteri dari parti Amanah menyebut “Saya malas layan Pas ini, buang masa sahaja” dan dilihat kurang manis kerana statusnya kini sebagai jemaah Kabinet.

Malangnya, persidangan dewan mulia turut dicemari dengan beberapa insiden keceluparan mulut wakil-wakil rakyat mungkin akibat terlalu marah atau tidak disengajakan antaranya perkataan lucah, menghina dan seksis yang bikin dewan kecoh.

Seminggu pertama persidangan kecoh dengan insiden ‘tarik balik’ dari kiri dan kanan yang bikin pening ketiga-tiga Speaker malah pernah berlarutan lebih sejam hanya kerana perkataan gengster.

Muka baharu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pula dilabel pengacau apabila kerap bangkit bikin kacau ketika wakil pembangkang berhujah hingga terpalit dengan insiden ‘kepala bapak’ yang menyebabkan beliau menerima amaran akhir daripada Speaker.

Tidak ketinggalan orang lama, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang penuh kontroversi beberapa kali diarahkan menarik balik kata-kata kurang sopan disebutnya ketika persidangan.

Sebelum ditangguhkan Khamis lalu, detik-detik akhir menyaksikan kes 1MDB dibahaskan dan usul membuka kembali siasatan berkaitan skandal itu diluluskan secara sebulat suara.

Mungkin ini pertama kali, rakyat Malaysia dapat mendengar hujahan mengenai skandal itu selepas ahli Parlimen dilarang membincangkan 1MDB dan derma RM2.6 bilion, dua tahun lalu.

Bekas Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin dilihat mempertahankan keputusannya berkaitan laporan PAC selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa beliau memadamkan maklumat dalam laporan akhir itu.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang juga ahli PAC ketika itu bangkit mempertikai keputusan Hasan.

Persidangan pertama ini akhirnya ditangguhkan selepas 20 hari bersidang dengan meluluskan usul membuka semula siasatan ke atas 1MDB yang disokong sebulat suara oleh wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.

Tiada ulasan: