Pihak berkuasa negeri dan persekutuan harus bersama
melihat kebolehsediaan pautan rel pada salah satu jambatan di antara
tanah besar dan pulau.
Kenapa Pulau Pinang perlu tergesa-gesa menjalankan projek terowong bawah laut 7.2km apabila Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang diterima pakai kerajaan negeri secara rasmi dengan jelas menyatakan ia bukan keutamaan yang mendesak?
Mengapa ada kekalutan ini, apabila tinjauan jumlah lalu lintas Pulau Pinang oleh Halcrow, perunding kejuruteraan dari United Kingdom menunjukkan lalu lintas rentas selat pada 2011 menyumbang hanya 7% daripada jumlah lalu lintas negeri pada waktu puncak?
Draf awal Halcrow yang dibentangkan kepada Majlis Pengangkutan Pulau Pinang pada akhir 2012 menunjukkan terowong bawah laut mungkin diperlukan hanya pada 2030. Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, dalam draf akhir pada 2013, Halcrow membawa tarikh tersebut ke 2025.
Orang ramai diberitahu kerajaan negeri bahawa terowong tersebut diperlukan kerana mereka tidak mendapat persetujuan persekutuan untuk membina jambatan ke-3 merentasi selat atau kelulusan untuk mengambil alih pemilikan dan pengendalian perkhidmatan feri.
Tetapi, sekarang Pakatan Harapan mengawal kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan, ia berada dalam kedudukan untuk mempertimbangkan pengangkutan awam yang lebih murah dan mesra alam. Ini khasnya termasuk meningkatkan perkhidmatan feri atau/dan mungkin mempunyai hubungan rel pada salah satu jambatan sedia ada.
Dalam keadaan semua ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sekali lagi membangkitkan isu terowong dan infrastruktur mega lain, dengan menegaskan projek-projek tersebut menjadi keutamaan bagi pentadbirannya untuk menyelesaikan masalah lalu lintas di bahagian pulau.
Projek terowong bawah laut akan menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau ke Bagan Ajam di tanah besar. Ia dirancang dibina bersama 3 lebuh raya utama yang terdiri daripada 10.5km jalan pesisir utara dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, berserta 5.7km Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu – Air Itam dan 4.1km jalan berpasang Persiaran Gurney – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Keseluruhannya, 4 projek ini dianggarkan bernilai RM6.4 bilion.
Ramai penduduk Pulau Pinang suka menggunakan perkhidmatan feri, jika ianya diurus dengan cekap dan dibangunkan ke tahap contohnya, perkhidmatan feri Hong Kong – Kowloon.
Penggunaan perkhidmatan feri oleh pejalan kaki berkurangan sejak kebelakangan ini kerana ia tidak kerap, tidak boleh dipercayai dan tidak selesa. Satu kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk menaik taraf perkhidmatan feri ke tahap yang boleh diterima.
Pada masa ini, perkhidmatan kereta api KTM bertambah baik dengan ketara, malangnya berakhir di stesen Prai/Butterworth. Ia tidak diintegrasi dengan baik bersama perkhidmatan feri.
Penumpang mengambil masa hampir sejam untuk menyeberang dari stesen kereta api ini ke terminal feri di Weld Quay di bahagian pulau dan dengan itu tidak menggalakkan orang ramai menaiki kereta api sebagai mod kemasukan ke Pulau Pinang. Ini adalah satu lagi sebab menarik untuk menambah baik perkhidmatan feri.
Di samping itu, pihak berkuasa negeri dan persekutuan harus bersama melihat kebolehsediaan pautan rel pada salah satu jambatan di antara tanah besar dan pulau.
Kereta api komuter rentas selat adalah jauh lebih baik daripada membina sebuah lagi jambatan untuk kereta. Ia juga akan mengurangkan masa perjalanan dan menggalakkan orang ramai, terutamanya yang berada di bahagian pulau, untuk menggunakan kereta api pergi dan balik dari Kuala Lumpur.
Atas sebab-sebab di atas, kerajaan Pulau Pinang yang telah menjanjikan kecekapan, akauntabiliti, ketelusan dan keterbukaan harus mengadakan penglibatan dan penyertaan awam yang lebih banyak, sebelum meneruskan projek-projek mega tersebut secara melulu.
*Ahmad Hilmy ialah pensyarah Universiti Sains Malaysia dan Lim Mah Hui ialah bekas pensyarah, pegawai bank antarabangsa dan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan