Bekas perdana menteri berkata harga minyak dunia dulu
adalah rendah, membolehkan kerajaan tidak memberikan subsidi dan juga
mengenakan cukai.
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya tidak pernah memberi subsidi minyak pada masa lalu, bertentangan dengan andaian orang ramai sebelum ini.
Beliau mendakwa kerajaan bukan sahaja tidak memberikan subsidi tetapi juga mengenakan cukai ke atas setiap liter petrol dan diesel kerana harga minyak yang rendah ketika itu.
“Tidak benar apa yang disebar kononnya pada era itu rakyat menerima subsidi untuk minyak kenderaan,” kata Najib di Facebook hari ini.
Najib menjelaskan harga minyak dunia pada masa itu adalah rendah, iaitu antara AS$10 hingga AS$20 setiap tong berbanding AS$75 setong pada masa ini.
“Harga minyak dunia juga pernah mencecah US$120 setong semasa saya mentadbir,” katanya.
Menurutnya Najib, pentadbiran Dr Mahathir mengenakan cukai kepada kadar 58.62 sen bagi setiap liter petrol dan 19.64 sen bagi setiap liter diesel.
“Pada ketika pentadbiran saya, ia tidak dikenakan cukai,” katanya
Beliau sempat membidas dasar subsidi minyak menyeluruh, mengatakan ia lebih memanfaatkan individu kaya yang memandu kereta mewah setiap hari berbanding petani yang menunggang motorsikal bagi perjalanan dekat atau pekerja pejabat yang menaiki LRT setiap hari.
“Ia sangat tidak adil. Golongan kaya tidak seharusnya menjadi kumpulan 80% yang menerima manfaat dari subsidi petrol itu,” katanya.
“Apa-apa pun, rakyat masih ada hak untuk menuntut harga petrol diturunkan kerana ini adalah janji PRU14 pemerintah sekarang.”
Harga RON95 dan diesel mula diapungkan pada November 2014. Kerajaan mengumumkan harga jualan runcit untuk RON95 dan diesel dikekalkan pada RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter pada Jun lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan