
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengambil maklum berkaitan permohonan yang dibuat Mejar (B) Zaidi Ahmad mengenai kes pemecatan beliau.
Perkara ini dijelaskan setiausaha politik menteri pertahanan, Ahmad Azhar Mat Dali dalam suatu kenyataan media hari ini.
"Pihak Menteri Pertahanan mengambil maklum berkaitan permohonan yang dibuat Mejar (B) Zaidi Ahmad berhubung keputusan pemecatan terhadapnya.
"Sehingga kini menteri masih dalam proses mempertimbangkan permohonan tersebut.
"Semua pihak adalah dinasihatkan agar bersabar sehingga keputusan rasmi diumumkan," kata Mohd Azhar.
Bagaimanapun, petang tadi Malaysiakini melaporkan kekecewaan Mejar (B) Zaidi Ahmad, yang dipecat daripada angkatan tentera tiga tahun lalu yang berkata kerajaan menolak permohonannya agar jawatannya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikembalikan atau beliau dibayar pencen.
'Tak layak dapat tuntutan'
Beliau yang kini berkhidmat sebagai pegawai penerangan pejabat ketua menteri Pulau Pinang hari ini berkata, Majlis Angkatan Tentera memberitahunya bahawa beliau tidak layak mendapat tuntutan itu kerana dipecat daripada tugas.
Beliau membuat permohonan itu Mei lalu kepada Mohamad Sabu yang ketika itu baru menjadi menteri pertahanan.
Dalam permohonannya, Zaidi meminta agar pencennya dikembalikan atau beliau dimasukkan semula berkhidmat dalam TUDM berdasarkan kelayakan dirinya sebagai juruterbang berpengalaman yang "dipaksa" melepaskan jawatan oleh kerajaan BN.
Mohamad berkata akan mengkaji permohonan itu dan akan mengambil tindakan jika perlu.
Zaidi dipecat pada 12 Januari 2015 selepas mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal.
Beliau membuat laporan polis ketika PRU 2013 dan tindakan itu dianggap bertentangan dengan etika kerjanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan