Pendedahan Daniel Twining yang juga anggota Pusat Kajian Strategik Amerika Syarikat (CSIS) membuktikan kuasa asing telah mencampuri urusan kedaulatan negara dengan menaja pembangkang ketika itu sejak 2002 bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
UMNO menyifatkan pendedahan itu harus diberi pandangan serius bagi menyelamatkan rakyat dan negara daripada menjadi sebuah lagi negara Islam yang dirosakkan akibat campur tangah asing seperti, Yeman, Libya, Iraq dan Syria.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyeru Majlis Raja-Raja mengambil pendirian berhubung beberapa perkara melibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang didakwa telah melakukan pengkhianatan kepada kerajaan terdahulu.
“Sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad terbabit atau tidak, itu tidak boleh disahkan namun CSIS yang beroperasi di Malaysia sejak tahun 2002, cukup bangga selepas berjaya berkomplot dengan pembangkang bagi menumbangkan Kerajaan BN pada PRU-14.
“UMNO mencabar Lim Kit Siang menafikan perkara ini secara terbuka dan bersumpah kepada rakyat Malaysia bahawa apa yang dikatakan oleh Twining itu adalah bohong.
“Mahathir juga perlu menjelaskan bahawa ‘crocodile tears’ ketika mengumumkan mahu meletak jawatan pada Perhimpunan Agung UMNO 2003 sebenarnya adalah sandiwara kerana niat memusnahkan parti sudah wujud sejak kerjasamanya dengan CSIS,” katanya dalam satu kenyataan.
Shamsul berkata, gerakan yang menjual maruah negara ini sungguh menyedihkan kerana apa-apa hasil kerjasama dengan agensi asing itu turut mencerminkan betapa Malaysia ‘mudah dibeli’ atas nama demokrasi.
Malah, beliau mendakwa, mereka yang melakukannya sangat tidak bertanggungjawab serta membelakangkan kedaulatan negara.
Tegasnya, menerusi bantuan dana kepada DAP oleh ‘National Endowment for Democracy’ di bawah Jabatan Negara Amerika selama ini, jelas menelanjangkan siapa sebenarnya DAP, Lim Kit Siang dan rakan-rakan ‘demokratiknya’.
“Ini juga mengesahkan dakwaan ejen-ejen media sosial mereka selama ini digerakkan dengan mewah menggunakan dana negara asing yang mahu melihat BN dan UMNO disingkir dari tampuk pemerintahan.
“Sungguh kotor dan keji perbuatan ini dan pada hari ini, mereka tetap akan menafikan dakwaan ini.
“Malah secara berterusan berusaha memesongkan perhatian rakyat dengan mengatakan ekonomi negara sedang meleset dan kerajaan terdahulu kejam dan zalim. Semua ini tidak benar sama sekali,” tegasnya lagi.
Katanya, sikap Mahathir yang selama ini menuduh BN ingin menjual negara kepada China sedangkan ketika menjadi pembangkang, mereka sudah pun menggadai maruah Malaysia kepada orang asing.
“Kita ingin tahu berapa jumlah dana asing yang diterimanya secara rahsia sejak 2002. Mungkin melebihi RM2.6 bilion yang dijadikan peluru untuk meracun fikiran rakyat mengenai 1MDB?,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan