HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Ogos 2018

Rampasan kes pengawal JPM seleweng dana PRU14 kini RM1.19 juta

 
Sumber memberitahu wang tunai kira-kira RM1.19 juta disita pihak berkuasa dalam kes penyelewengan dana PRU14.





PETALING JAYA: Sitaan wang tunai susulan penahanan 17 pegawai dan pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa lalu kini mencecah kira-kira RM1.19 juta, kata sumber.

Selain itu, sitaan terbaru berupa kenderaan adalah sebuah kereta Subaru Impreza dan Toyota Vios, dan sebuah motosikal berjenama Honda.




Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan sitaan kenderaan itu.

Sebelum ini, 17 pengawal keselamatan JPM direman 5 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berjumlah RM3.5 juta.

Antara yang direman seorang pegawai keselamatan gred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan gred 11 hingga 38.

Azam berkata SPRM bercadang untuk memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan dana RM3.5 juta itu milik Umno.

Pada Rabu, media melaporkan wang tunai berjumlah RM840,700 dan 8 motosikal pelbagai jenama bernilai RM90,000 dirampas pihak berkuasa dalam siasatan kes ini.

Tiada ulasan: