HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Oktober 2018

Singapura mahu gunakan Tambak Johor 30 tahun lagi – Najib

MalaysiaGazette
Kerajaan Singapura telah meluahkan hasrat untuk terus menggunakan Tambak Johor untuk tempoh 30 tahun lagi, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Kerajaan Singapura telah meluahkan hasrat untuk terus menggunakan Tambak Johor untuk tempoh 30 tahun lagi, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


KUALA LUMPUR – Kerajaan Singapura telah meluahkan hasrat untuk terus menggunakan Tambak Johor bagi tempoh 30 tahun lagi, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, negara jiran itu tidak mahu Tambak Johor diroboh bagi membolehkan jambatan baharu yang lebih sesuai dibina.

“Semasa saya masih lagi perdana menteri, saya telah bertanya kepada Perdana Menteri Singapura dan Lee Hsien Loong berkata ingin mengekalkan Tambak Johor untuk 30 tahun lagi.

“Saya cuba juga nak minta Singapura mansuhkan Tambak Johor untuk buat satu jambatan baharu yang sesuai dengan era sekarang.

“Tetapi permintaan itu tidak dipersetujui oleh Singapura, kalau separuh jambatan baharu dan separuh jambatan lama, agak pelik sedikit dari segi banyak aspek,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Dalam perkembangan berkaitan bekas Presiden UMNO itu juga menambah bahawa idea jambatan bengkok hasil cetusan idea Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun dibatalkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tindakan itu katanya, menyebabkan kerajaan menjelaskan bayaran pampasan yang besar kepada kontraktor pembinaan projek itu.

“Namun, masalah yang amat membimbangkan adalah cabaran bagaimana untuk menyambung Johor dengan Singapura kerana negara jiran itu tidak mahu meruntuhkan Tambak Johor sedia ada.

“Singapura bertegas bahawa Tambak Johor masih boleh digunakan untuk tempoh masa 30 tahun lagi dan anggap tidak wujud keperluan untuk jambatan baharu.

“Sebab itu kita tidak dapat persetujuan. Jika kita (Malaysia) sahaja yang bina jambatan namun Singapura tidak, jadi laluan lama (Tambak Johor) bersambung dengan jambatan baharu, kalau sambung pun nampak agak pelik,” tegasnya yang juga bekas Menteri Kewangan.

Pada 4 Mac 2002, Dr Mahathir telah menulis kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew mengenai cadangan Malaysia berkenaan pakej isu dua hala yang tertunggak.

Projek itu antara lain mencadangkan pembinaan jambatan di sebelah Malaysia, manakala Singapura akan membina jambatan sebelah negara republik itu dengan masing- masing akan menanggung kos pembinaan sendiri.

Dr Mahathir mencadangkan jika Singapura tidak mahu membina jambatan di sebelahnya, Malaysia bercadang membina jambatan di kawasannya sendiri dan apabila siap Tambak Johor sebelah Malaysia akan dirobohkan.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: