Bernama/ ASTRO AWANI
Lim yang juga Menteri Kewangan dan Setiausaha Agung parti DAP berkata kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang hanya menjual 42.90 hektar atau 36 kali ganda kurang berbanding 1,481.55 hektar tanah yang dijual kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Beliau berkata walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang menjual tanah 36 kali ganda kurang, ia menerima keuntungan lebih besar berbanding BN berikutan penjualan tanah dibuat secara tender terbuka berbanding rundingan terus oleh kerajaan BN.
"Hasil penjualan tanah oleh kerajaan Pakatan Harapan disalurkan untuk projek perumahan mampu milik, dan baki yang digunakan hanya 10.4 peratus daripada perbelanjaan negeri.
"Jadi dakwaan hasil dan lebihan kerajaan negeri hanya datang daripada penjualan tanah adalah tidak benar," katanya dalam dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebagai contoh, Lim berkata tanah yang ditebus semula berhampiran Persiaran Gurney di Pulau Pinang dijual kerajaan BN pada harga RM1 setiap kaki persegi dan 10 peratus tanah yang ditebus semula diberikan kepada kerajaan negeri.
"Di bawah kerajaan Pakatan Pulau Pinang, kadar pembelian tanah yang ditebus sebanyak 10 peratus telah dirunding semula dan dinaikkan kepada 20 peratus untuk kerajaan negeri.
"Begitu juga dengan hasil jualan tanah yang ditebus berhampiran Butterworth, hanya lima peratus hasil jualan oleh kerajaan BN diberikan kepada kerajaan negeri.
"Sekali lagi, kami membuat rundingan semula dan meningkatkan harga tanah yang ditebus di Butterworth kepada 35 peratus daripada lima peratus atau tujuh kali ganda lebih tinggi diberikan kepada kerajaan negeri," katanya. -- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan