HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Oktober 2018

Lebih 41,000 saman lalu lintas dikeluarkan di KLIA, KLIA2

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEPANG: Cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengeluarkan sebanyak 41,938 saman lalu lintas di KLIA dan klia2 dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Oktober tahun ini.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamsah berkata saman dikeluarkan melibatkan kesalahan meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan dan menghalang lalu lintas.

“Sejumlah 15 kenderaan telah ditunda sepanjang tempoh itu di mana pemilik-pemilik kenderaan dikenakan kompaun maksimum sebaik membuat tuntutan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan sempena sambutan satu tahun IPD KLIA di sini hari ini.

Zulkifli berkata aliran trafik di KLIA dan klia2 sering dibangkitkan banyak pihak terutamanya kesesakan untuk masuk ke terminal dan ia tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia merupakan “pandangan pertama” kepada mereka yang baharu tiba ke negara ini.

Dalam tempoh yang sama, Zulkifli berkata sebanyak 169 orang ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan cubaan menyeludup dadah ke luar negara.

Tangkapan itu melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah yang secara keseluruhan berjumlah 535 kg iaitu 14.34 kg syabu, 1.03 kg kokain, 5.3 kg ganja, 264.91 kg ketamin dan 249.3 kg ekstasi.– Bernama

Tiada ulasan: