Oleh
KEWUJUDAN institusi tahfiz secara formal bermula pada 1966 telah memberi satu alternatif pendidikan kepada ibu bapa yang berminat untuk menjadikan anak-anak mereka penghafaz al-Quran serta menguasai pelbagai cabang ilmu agama lain seperti hadis, syariah dan usuluddin.
Perkembangannya cukup memberangsangkan
dari setahun ke setahun dan sehingga kini dianggarkan terdapat 1,000
pusat tahfiz di seluruh negara. Namun berdasarkan rekod, hanya 618
daripada jumlah itu yang berdaftar dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Selebihnya tidak
berbuat demikian.
Jakim sendiri mempunyai pusat tahfiznya sendiri
iaitu Darul Quran terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan antara
objektif penubuhannya adalah untuk melahirkan golongan huffaz
profesional di negara ini yang menguasai dua bidang iaitu al-Quran dan
disiplin ilmu yang lain.
Begitu juga dengan
JAIN yang kebanyakannya juga mempunyai pusat tahfiz sendiri. Bagi pusat
tahfiz yang dimiliki oleh Jakim atau JAIN, tiada banyak masalah yang
dihadapi kerana segala urusan seperti prasarana serta gaji tenaga
pengajar diuruskan oleh pihak kerajaan.
Berbanding
pusat tahfiz yang diuruskan oleh institusi swasta dan persendirian,
terdapat kekangan terutama dari segi kewangan dan itu yang menyebabkan
ada pusat-pusat tahfiz yang boleh dianggap daif dan perlu dibantu.
Penulis
terpanggil untuk membincangkan isu ini kerana ada keperluan untuk
pusat-pusat tahfiz yang seperti ini diberikan bantuan sewajarnya oleh
kerajaan sedia ada seperti mana yang pernah dilakukan oleh kerajaan
Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Sebagai
contoh, kerajaan BN telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta
kepada GiatMara untuk membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian
di semua sekolah tahfiz yang berdaftar selepas negara dikejutkan dengan
insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hingga
mengorbankan 23 nyawa (14 September 2017) dalam pembentangan Bajet 2018,
Oktober tahun lalu.
Secara peribadi penulis
yakin kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan usaha tersebut. Malah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa
dalam kenyataannya dalam media baru-baru ini telah menyatakan komitmen
kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu institusi tahfiz melalui satu
peruntukan khas yang bakal diumumkan dalam Bajet 2019, 2 November ini.
Kenyataan
itu bertujuan menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mengumumkan
sebarang peruntukan kepada institusi tahfiz dalam pembentangan bajet
berkenaan.
Menurut Mujahid, apa yang disebut
oleh Najib itu adalah tidak benar sama sekali dan kerajaan Pakatan
Harapan akan tetap meneruskan langkah tersebut. Bahkan Mujahid seperti
yang dipetik dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan selain
diteruskan, peruntukan itu juga mungkin akan ditambah. Harap-harap
diluluskan.
Apa pun penulis bersyukur dengan
perkembangan itu. Yalah dalam situasi institusi tahfiz diserang kanan,
kiri, depan dan belakang atas beberapa isu sehingga ada yang mahu
institusi itu ditutup, masih ada menteri dalam kerajaan sekarang yang
sedia mempertahankannya demi kelangsungan aliran pendidikan berkenaan.
Tunggu sahajalah hari pembentangan bajet itu nanti.
Dalam
perkembangan berkaitan, penulis bersetuju dengan Mujahid iaitu
keutamaan bantuan akan diberikan kepada pusat-pusat tahfiz berdaftar.
Bagaimanapun tidak salah sekiranya, pihak menteri atau Jakim atau JAIN
mengadakan pertemuan dengan pengurusan pusat-pusat tahfiz tidak
berdaftar dengan hasrat untuk membantu mereka.
Mungkin
mereka kekurangan maklumat hingga menyebabkan pusat-pusat tahfiz
tersebut gagal didaftarkan. Demi masa depan anak-anak tahfiz, penulis
kira pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar itu perlu disantuni agar isu
berkenaan keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar termasuk tenaga
pengajarnya sentiasa terbela.
Ada seorang
kenalan melontar pandangan, untuk menutupnya agak mustahil kerana tempat
untuk anak-anak melanjutkan pengajian ke pusat tahfiz milik kerajaan
dan yang berdaftar begitu terhad.
Ada benarnya. Sehubungan itu kerajaan perlu berbuat sesuatu agar pusat-pusat tahfiz ini akhirnya boleh didaftarkan sekali gus memudahkan proses pengagihan bantuan.
Ada benarnya. Sehubungan itu kerajaan perlu berbuat sesuatu agar pusat-pusat tahfiz ini akhirnya boleh didaftarkan sekali gus memudahkan proses pengagihan bantuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan