HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Oktober 2018

Jambatan bengkok tidak bawa faedah!


Ir Hasni Mohammad
Ir Hasni Mohammad


JOHOR BAHRU - BN Johor berpendapat usaha menambah baik sistem perhubungan dan rangkaian jalan raya dengan negara jiran, Singapura seperti projek Sistem Rapid Transit (RTS) sewajarnya diberi keutamaan.

Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, projek seperti RTS itu lebih penting berbanding cadangan meneruskan semula pembinaan jambatan bengkok yang bukan sahaja merupakan satu pembaziran malah tidak akan membawa faedah kepada negeri ini.

 “BN Johor juga berpendapat, pembinaan jambatan ketiga juga adalah lebih sesuai daripada pembinaan jambatan bengkok itu.

“Jambatan bengkok tidak membawa faedah lagi kepada Johor selain ia merupakan satu pembaziran.Kita tertanya-tanya mengapa cadangan seperti itu dibangkitkan semula sedangkan kerajaan pusat mengatakan kedudukan kewangan negara tidak baik”, katanya di sini hari ini.

 Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, kerajaan juga sewajarnya melihat semula projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang ditangguhkan.

 Katanya, projek yang mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat di negara ini, sepatutnya diberikan keutamaan dalam sebarang usaha menambah baik rangkaian perhubungan jalan raya dengan Singapura.

 “Kita semua sedia maklum bahawa segala perkara berkaitan jambatan dengan Singapura itu perlu mendapat persetujuan bersama.

“Jadi, apa yang membuatkan menteri besar yakin mereka akan bersetuju dengan jambatan bengkok?,” katanya.

Tiada ulasan: