HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Januari 2019

MP PAS ucap terima kasih k'jaan turun harga minyak

MALAYSIAKINI

   

Anggota Jawatankuasa PAS pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menurunkan harga bahan api walaupun menjanjikan harga lebih rendah sebelum ini.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang telah mengumumkan harga runcit RON95, RON97 dan diesel bagi tempoh 5 hingga 11 Januari ini masing-masing RM1.93, RM2.23 dan RM2.04 seliter pada petang ini walaupun sebelum ini pengguna dijanjikan dengan harga yang lebih rendah iaitu RM1.91 bagi RON95," katanya dalam satu kenyatan media.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan sebanyak 27 sen daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter, berkuatkuasa malam ini.

Harga runcit petrol RON97 pula akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter manakala harga runcit diesel akan diturunkan daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Khairuddin sebelum ini berkata, berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan Automatic Pricing Mechanism (APM), sejak awal Disember lalu RON95 sepatutnya dijual pada harga RM1.90 seliter.

Mengulas lanjut, beliau berkata margin pengusaha stesen minyak yang diselaraskan kepada 15 sen bagi petrol 10 sen bagi diesel juga diharapkan menjadi penyelesaian menang-menang kepada pengusaha stesen minyak.

"Susulan pengapungan semula harga bahan api ini, diharapkan Kerajaan terutamanya KPDNHEP dapat meningkatkan pemantauan, pengawalan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga barangan dan perkhidmatan dalam pasaran berada pada paras yang sepatutnya," katanya.

Tiada ulasan: