Ahmad Lutfi Othman
Tahun
yang mengukir sejarah, 2018, baru berlalu. Ia bukan sahaja meninggalkan
di belakang memori indah paling manis, tetapi juga membentangkan di
hadapan, cabaran berliku 2019 bagi membina semula negara yang hampir
hancur.
Runtuhnya regim yang dianggap kebal zaman berzaman — Umno-BN — adalah
peristiwa cukup besar dan menakjubkan. Terus merayakannya adalah
langkah wajar meskipun kita sudah menginjak ke tahun baharu selepas
lapan bulan revolusi elektoral yang mengujakan itu.
Berdekad lamanya, kita mencuba pelbagai cara dan strategi untuk
menewaskan penguasa zalim dan rasuah itu tetapi tidak terkalahkan.
Terselit harapan demi harapan, seperti pada PRU1990 tetapi sinarnya
pudar pada 1995. Muncul semula dengan keyakinan lebih menyerlah pada
PRU1999 tetapi dikecewakan bagai kaca terhempas pada 2004.
Tanpa siapa menduga selepas empat tahun BN menang gemilang meraih
lebih 90 peratus kerusi Parlimen, dalam PRU2008, lima negeri ditawan
pembangkang, dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat berjaya dinafikan.
Impian menukar kerajaan muncul semula.
PRU2013 ditunggu penuh ghairah sehingga Najjb Razak sukar memilih
tarikh seless pembubaran Parlimen. Gabungan oposisi perlukan satu lagi
lonjakan tangkas untuk meranapkan dinasti Umno-BN. Meskipun menguasai
undi popular sekitar 52 peratus, dan jumlah kerusi Dewan Rakyat
meningkat namun Pakatan Rakyat hilang Kedah dan Perak.
Duka itu berlanjutan apabila koalisis pembangkang bercempera.
Perbedaan gagal diuruskan secara hikmah dan bijaksana. Anwar Ibrahim
dihumban semula ke penjara. Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang
menyejukkan mata kembali ke Rahmatullah. Pas dan DAP bergerak semula ke
posisi asal; dua kutub yang bertentangan. Seterusnya Pas terbelah dua.
Harapan pudar dan hampir padam, bagai sumbu kehabisan minyak. Kita
menunggu hampir enam dasawarsa untuk menyaksikan peralihan kerajaan,
tetapi malangnya, yang muncul adalah barisan oposisi yang saling syak
wasangka. Mujur ada petanda jelas di setiap penjuru bahawa majoriti
rakyat sudah bersedia bangkit untuk berubah. Mereka mahu Malaysia baharu
yang lebih adil, bebas, makmur, dan berintegriti.
Di sisi lain, pembangkang bukan hanya bersengketa tetapi ada gerak di
sebalik tabir yang cuba membina hubungan sulit dengan elit penguasa. Ia
tambah mengecewakan rakyat yang bertekad menolak penguasa korup tetapi
risau dengan prestasi seteru BN.
Politik sentiasa dinamik dan bergejolak. Terbuka kepada pelbagai
kemungkinan dan porensi. Justeru, hakiskan segala rasa putus asa dan
patah hati. Oposisi tidak sehaluan, namun Umno lebih bergolak kencang.
Rasuah makin membengkak. Dana kerajaan dicuri besar-besaran.
Kehidupan rakyat tambah perit. Ditindan cukai yang menekan setiap warga.
Mereka hanya memerlukan sedikit keyakinan untuk memilih kerajaan baharu
yang lebih baik. Sekian lama rakyat didakyahkan propaganda buruk
tentang pemerintahan alternatif.
Sebenarnya yang diperlukan hanyalah peratusan kecil undi Melayu yang
beralih. Tengku Razaleigh Hamzah ada baktinya. Anwar Ibrahim ada
jasanya. Pimpinan Pas, seperti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Nik Aziz ada
peranan besarnya. Kita cuma menunggu pelengkap kepada satu kitaran yang
hampir sempurna.
Selepas Pas terbahagi, dan perkembangan itu dikira menyambung hayat
Umno-Najib, harapan lebih tertumpu kepada perpecahan dalaman Umno
apabila Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal
memberontak. Lebih penting lagi, majoriti Melayu yang tidak berparti
terpengaruh dengan aksi tiga tokoh itu. Bagaimana psikik Melayu dapat
dilenturkan untuk lebih terbuka menerima kemungkinan regim Umno-BN boleh
diganti.
Merentasi isu-isu dalaman parti politik, rakyat lebih terkesan dengan
himpitan hidup seharian, muak dengan gaya super mewah pembesar dan
isteri, jijik terhadap keangkuhan penguasa yang curang dan menghargai
personaliti Mahathir sebagai kepala lokomotif perubahan.
Justeru, revolusi tanpa darah 9 Mei 2018 adalah manifestasi
kebangkitan rakyat Malaysia yang cekal-berani. Ia bukan lagi hanya
kekuatan tersudut parti-parti dalam Pakatan Harapan. Hinggakan calon
Bebas pun boleh menang besar menewaskan BN. Ada wakil PH yang tidak
terurus kempennya, kontang kantung dananya, turut menang bergaya.
Sumbatlah segala tohmahan untuk memburukkan PH, canangkanlah DAP menjadi
kuasa dominan, hebahlah parti Melayu sekadar tunggangan, namun majoriti
rakyat sudah buat keputusan mantap, regim kleptokrasi ini mesti
dihumban turun.
Benar, hikayat era perubahan baru bermula. Pembersihan mulai berjalan
tetapi semak-samun masih menganggu. Pembaharuan perlahan-lahan mengisi
tempat. Banyak janji belum tertunai. Rakyat tertunggu-tunggu dan mungkin
ada yang tidak sabar. Maka, jangan diserabutkan lagi oleh tingkah-laku
serta karenah sang menteri dan pendukung parti. Zaman baharu menuntut
ditinggalkan budaya dan amalan lapuk yang merosakkan.
Ya, tidak mudah mengendalikan empat atau lima parti dalam sebuah
kerajaan baharu. Masing-masing pula dalam proses pengembangan dan
pemantapan. Sebahagiannya seolah-olah bertindih konstituensi yang sama.
Apatah lagi tiap parti nampak seimbang, tiada “abang besar” dan kuasa
dominan.
Jangan sesekali ambil mudah dengan seteru politik yang makin melemah
untuk cuba sabotaj sesama sendiri. Usah pandang enteng usaha Umno dan
Pas mengeksploitasi sentimen kelompok Melayu.
Belajarlah untuk saling
menghargai sesama sekutu. Tidak perlu tamak menguasai sumber yang
terhad.
Sedarlah, ada kuasa tersembunyi rakyat yang tidak terjangka
momentumnya. Mereka mengundi untuk perubahan selepas letih menunggu
lebih separuh kurun. Kesabaran seperti dahulu mungkin tidak berulang
lagi.
Usah mengejar status majoriti dua pertiga di Parlimen sehingga
melonggarkan prinsip dan integriti. Jika perlukan sokongan untuk meminda
Perlembagaan, ia tidak semestinya dicapai hanya dengan undi penyokong
kerajaan. Wacana dan debat perlu terus disuburkan.
Usaha pembaharuan terdedah kepada kritikan dan bantahan, termasuk
daripada kalangan sendiri. Apabila kepentingan dan peluang terjejas,
kawan pun bolrh bertukar lawan, sahabat boleh jadi musuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan