KEADILAN DAILY
Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli menggesa orang ramai memberikan ruang kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan tugasnya sebagai pembangkang walaupun beliau sebenarnya adalah punca kepada masalah negara sebelum ini.
Menurutnya, masanya akan tiba untuk orang ramai menilai keberkesanan Najib sebagai pembangkang kelak.
“Saya ditanya perasaan saya memerhatikan bagaimana Datuk Seri Najib Razak kini cuba menjadi pejuang rakyat, sedangkan sebelum ini banyak kerosakan itu berpunca dari beliau.
“Sudah tentu ada perasaan sinis. Saya yakin sahabat-sahabat UMNO pun ada yang merasa sinis melihat gelagat Dato’ Seri Najib sekarang, tetapi itu kerja pembangkang.
“Biarkanlah dia, kerana saya yakin orang ramai dapat menilai,” katanya dalam kenyataan.
Sejak menjadi punca kepada tumbangnya rejim Umno-BN, Najib kini kerap menghasilkan kenyataan memperlekehkan kerajaan Pakatan Harapan menerusi laman Facebook beliau.
Menurut Rafizi, walaupun dirinya sendiri juga memantau prestasi Harapan, beliau melihat terdapat penambahbaikan yang berlaku walaupun kesannya tidak dirasai serta-merta.
Beliau memetik contoh harga minyak yang sering dikritik penyokong pembangkang.
“Kaki pukul tegar pembangkang di media sosial akan terus sumpah seranah mengenai harga minyak, tetapi hakikatnya harga minyak akan turun juga minggu ini.
“Malah, ini kali pertama rakyat dilindungi dari kenaikan harga mendadak dan turut mendapat untung bila harga turun mendadak.
“Hanya di Malaysia ada kaedah yang menang-menang sebegini dalam menentukan harga minyak,” katanya lagi.
Kementerian Kewangan sebelum ini dikritik apabila menangguhkan sistem apungan harga minyak secara minggu yang sepatutnya bermula pada 1 Januari.
Penangguhan itu berlaku bagi memberi ruang kepada perbincangan dengan pengedar petroleum di seluruh negara.
Namun, Kementerian Kewangan turut memberi jaminan bahawa petrol RON95 akan kekal pada harga siling sebanyak RM2.20 seliter walaupun harga minyak mentah sedunia naik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan