HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Jun 2019

106 maut, enam hari Op Selamat 15

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
 
 

JUMLAH kemalangan maut terus meningkat apabila sebanyak 100 kemalangan dicatatkan dalam tempoh enam hari Op Selamat ke-15 bermula 29 Mei lalu sehingga semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16 lagi kematian dicatatkan menjadikan angka korban keseluruhan setakat ini adalah 106 orang.

Beliau berkata, Selangor terus mencatatkan jumlah korban paling ramai iaitu 17 orang diikuti Johor (14); Kedah (11) ; Sarawak dan Perak (masing-masing 10); Kelantan (8) dan Pahang serta Sabah (masing-masing 7).

“Selain itu, di Kelantan sebanyak enam kematian dicatatkan diikuti Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (masing-masing 5) ; Terengganu (4), Melaka (2) dan Kuala Lumpur pula seorang.

“Sepanjang tempoh ini juga, sebanyak 146,408 saman dikeluarkan membabitkan 1,898 operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Asmawati berkata, sebanyak 252 kes pecah rumah dan premis dilaporkan di seluruh negara dengan 155 kejadian membabitkan kediaman.

Sebelum ini, enam kesalahan utama akan ditumpukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Op Selamat 15 bermula 29 Mei lalu sehingga 12 Jun depan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, enam kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Tiada ulasan: