HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Jun 2019

Bergaduh pasal basuh ikan di kolah mandi

Zatul Iffah Zolkiply
 
 
 

SERAMAI 21 lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana merusuh dengan bersenjatakan kayu dan tukul gara-gara tidak berpuas hati ditegur membasuh ikan di sebuah kolah di tapak pembinaan.

Bukan itu sahaja, mereka yang terdiri daripada 14 warga Myanmar dan tujuh warga Bangladesh berusia antara 16 hingga 34 tahun turut berdepan hukuman penjara tiga bulan lagi sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas semua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 KK.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama didakwa merusuh dengan bersenjatakan kayu dan tukul di tapak pembinaan di Jalan Sultan Zainal Abidin, di Kuala Terengganu, 11.15 malam pada 28 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna
 manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Sebelum ini, dua kumpulan pekerja warga asing dipercayai bergaduh gara-gara tidak berpuas hati ditegur membasuh ikan di kolah mandi di tapak pembinaan di bandar raya itu.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham apabila lelaki Myanmar dikatakan membasuh ikan di kolah mandi sedangkan lelaki warga Bangladesh ingin mandi kolah sama.

Tindakan lelaki Myanmar membasuh ikan di kolah mandi itu ditegur lelaki Bangladesh berkenaan pada 5.30 petang sehingga membawa kepada pertengkaran mulut.

Lelaki Myanmar yang gagal mengawal perasaan marah dikatakan memukul lelaki Bangladesh.

Tiada ulasan: