HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Jun 2019

Long Busang tenggelam dilanda banjir

Mohd Roji Kawi
 
 

LEBIH 1,000 penduduk Long Busang di hulu empangan Bakun di Belaga, terjejas akibat banjir, hari ini.

Kejadian pada 4 petang itu berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, selain rumah panjang, turut terjejas teruk Sekolah Kebangsaan Long Busang.

Beliau berkata, ketika ini kesukaran dihadapi untuk menghantar bantuan ke lokasi berikutan kedudukannya yang jauh dan memerlukan masa dua hari perjalanan menaiki bot dari empangan hidroelektrik Bakun.

“Kejadian itu berlaku disebabkan hujan lebat tidak henti-henti sejak semalam sehingga menyebabkan rumah panjang itu dilanda banjir sehingga kini dilaporkan mencecah bumbung.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Katanya, ketua kampung terbabit dikenali Haji Yusof sukar dihubungi mungkin disebabkan sistem telekomunikasi terganggu akibat banjir itu.

“Pihak kami sudah berhubung dengan Pemangku Ketua Pejabat Daerah Mabung iaitu Jackson yang memaklumkan tiada liputan telefon bimbit di lokasi berkenaan,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: