HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Jun 2019

'Saya bukan cari publisiti'

Ekhwan Haque Fazlul Haque
 
 

“SAYA tidak mencampuri keputusan dibuat mahkamah namun jauh di sudut hati perasaan hiba berjauhan dengan keluarga terutama isteri dan anak terutama ketika Aidilfitri,” luah Mohd Fadzli Ramli, 37.

Nama Mohd Fadzli menjadi tular sejak beberapa hari lalu selepas memuat naik status di laman Facebook (FB) kerana sanggup membayar ganti rugi cermin yang dirosakkan seorang pemuda dikenali sebagai abang botak yang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Menyingkap kembali hasratnya itu, bapa tiga anak itu berkata, hatinya tergerak membantu keluarga Danial Abdullah Tan, 31, selepas mengenangkan nasib dua anak lelaki itu yang berusia setahun dan tiga tahun beraya tanpa bapa yang perlu menjalani hukuman penjara.

“Ketika bersahur 1 Jun lalu, saya ada berbual bersama isteri (Maryam Ahmad, 30) mengenai kisah dihadapi Danial kerana dipenjarakan beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri dan terpanggil membantunya.

“Saya terkesan bila mengenang nasib dua anaknya yang masih kecil menyambut Aidilfitri berjauhan dengan bapa kerana saya sendiri sering berjauhan dengan keluarga kerana bekerja di Riyadh, Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya yang bekerja sebagai penyelenggara kereta api untuk sebuah syarikat berpangkalan di Sepanyol itu, dia kemudian memuat naik status di laman FB sebelum mendapat pelbagai reaksi daripada warganet sama ada menyokong namun ada juga sebaliknya.

Katanya ramai yang sudi membantu untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada keluarga Danial kerana mereka juga bersedih bila mengenangkan nasib dua anak lelaki itu.

“Ada yang salah anggap kerana beranggapan saya mempertikaikan keputusan dijatuhkan mahkamah namun niat di hati hanya sekadar mahu membantu keluarga lelaki terbabit.

“Selepas mendapat maklum balas, saya bercadang mengumpul dana untuk diserahkan kepada keluarga berkenaan untuk menampung perbelanjaan harian.

“Namun setakat ini saya masih belum dapat berhubung dengan ahli keluarganya,” katanya.

Tambahnya, niat untuk membantu bukan mahu mencari publisiti ketika isu ini sedang memuncak namun hanya sumbangan kecil kepada masyarakat ketika dihimpit kesusahan.

Danial pada 31 Mei lalu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mengaku bersalah memecahkan cermin sebuah kereta di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, 5.30 petang, 28 Mei lalu.

Hukuman yang dijatuhi mahkamah itu mengundang pelbagai reaksi warganet kerana beranggapan ia terlalu berat dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan sambil membandingkan dengan beberapa kes sama sebelum ini yang pesalahnya hanya didenda.

Tiada ulasan: