HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Jun 2019

Saifuddin cadang saji makanan retort kepada jemaah menteri

Muhammad Azizul Osman
MGF19062019_PELANCARAN-PENGHADANG-HABA09
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan 2019 di KPDNHEP, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL
 

PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercadang untuk membawa makanan bungkus semula melalui teknologi kantung retort pada mesyuarat Kabinet.

Teknologi itu adalah penemuan baharu kaedah pembungkusan semula makanan masak daripada bank makanan yang dilancarkan pada Mac lalu.

“Kalau ini berjaya, ini merupakan inisiatif baharu, yang mana  mangsa banjir tidak di khemah pemindahan hanya makan sardin sahaja, tapi mereka boleh makan kurma kambing daripada hotel tujuh bintang melalui retort.

“Saya telah tunjuk kepada Jemaah Menteri beberapa minggu lepas, satu hari nanti saya cadang nak hidangkan makanan retort daripada bank makanan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan 2019 di kementeriannya, hari ini.

Menurutnya, penyelidikan teknologi oleh pasukan ketenteraan Amerika Syarikat bersama Reynolds Metals Company dan Continental Flexible Packaging, makanan yang melalui proses ini mempunyai jangka hayat antara 18 bulan hingga 24 bulan.

Menurut Saifuddin, dua uji kaji bagi menentukan tahap selamat makanan masak daripada bank makanan itu telah dihantar kepada dua makmal.

Satu daripada hasil uji kaji itu menunjukkan makanan yang melalui proses retort selamat untuk dimakan oleh pengguna.

Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu laporan penuh ujian daripada makmal Kementerian Kesihatan.

“(Buat masa ini, KPDHEP) tidak terima pun kes pencemaran terhadap makanan yang diterima,” katanya lagi.

Untuk rekod, kantung retort yang memiliki ketahanan suhu mencecah 130 Celsius ini diperbuat daripada lapisan filem felksibel (flexible laminate) yang membolehkan pembungkusan disteril. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: