Ketua
Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
BANGI – Kenyataan pakar supaya rakyat bersedia
menghadapi zaman lebih sukar akibat ekonomi dunia tidak menentu, adalah bukti
kerajaan Pakatan Harapan tidak berupaya mengurus serta menghadapi cabaran
ekonomi ketika ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar
Nasarah berkata, ‘ketidakmampuan’ kerajaan PH, disahkan lagi dengan pengakuan
Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram, bahawa
‘agenda pembaharuan bukan mudah dilaksanakan’.
Beliau berkata, selain dilihat sebagai satu helah
meminta rakyat bersimpati jika ia tidak dapat dilaksanakan, ia juga
memperlihatkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Majlis Tindakan Ekonomi Negara
dan pelbagai jawatankuasa yang dibentuk di bawah PH, tidak berperanan
sebagaimana sepatutnya.
“Di manakah ‘penasihat’ kerajaan yang dahulunya
menyuruh perdana menteri memansuh perancangan atau membubarkan dasar-dasar BN
semata-mata kerana perasaan dendam dan bencikan hasil kerja BN? Sebetulnya
zaman kesukaran yang dinyatakan oleh Dr Jomo sudah dilalui oleh kerajaan
terdahulu.
“BN juga mewariskan Malaysia dalam kedudukan yang
baik kepada PH, namun diputar belit oleh pimpinan PH. Kesannya rakyat yang
menanggung kesengsaraan. Pelbagai bantuan kewangan dipotong, pembuangan kerja
dan pengangguran berlaku. Kos sara hidup bertambah. Usahawan dan peniaga
Bumiputera kini berdepan cabaran berbeza.
“Kini rakyat menunggu apakah pelan tindakan
kerajaan untuk mereka keluar daripada kemelut ekonomi ini, dan bukannya
dibiarkan terus karam dalam pusaran ekonomi ketika ini,” kata beliau dalam satu
kenyataan hari ini.
Terdahulu, Penasihat Kanan Institut Penyelidikan
Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, Malaysia perlu bersedia menghadapi
kesan pertumbuhan ekonomi global yang semakin mencabar di tengah-tengah situasi
yang sukar dijangkakan.
Katanya, negara perlu menumpukan kepada pelaburan
domestik memandangkan pertumbuhan ekonomi dunia kini semakin suram dan sesuatu
yang di luar kawalan kerajaan.
Sehubungan itu, Shamsul menggesa kerajaan PH
merangka strategi menghadapi cabaran ekonomi global ketika ini terutama
membantu dan melindungi golongan yang terkesan di situasi itu.
“Ini baru dinamakan kerajaan bertanggungjawab.
Memang tidak salah kerajaan menyuruh rakyat bersedia. Namun, mengajak rakyat
mengikat perut dengan memberi alasan ‘situasi luaran’ yang di luar kawalan
kerajaan adalah suatu yang tidak boleh diterima. Ini seakan-akan kerajaan PH
sudah kehabisan idea menangganinya.
“Kerajaan PH mesti punyai formula terbaik membina
benteng kekuatan ekonomi Malaysia. Tetapi yang ketara ialah polisi dan dasar
kewangan negara tidak konsisten, dan sukar meyakinkan pelbagai pihak. Kelemahan
menteri dan pihak dipertanggungjawabkan inilah yang mengeruhkan keadaan,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan