Veteran Umno menyatakan rasa kesal terhadap tindakan 17
anggota parlimen parti itu kerana mengadakan pertemuan sulit dengan
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
"Veteran kesal dengan sandiwara ini. Ahli Umno juga bosan dengan perbuatan 'baling batu sembunyi tangan' wakil rakyat mereka yang tiada pendirian dan terhegeh-hegeh seperti 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong'.
“Alasan yang kononnya perjumpaan itu untuk membincang projek di kawasan parlimen masing-masing adalah kebudak-budakan dan melucukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Melihat kepada situasi politik mutakhir ini, veteran Umno yakin perjumpaan itu ada kaitan dengan usaha untuk menyelamatkan Mahathir daripada undi tidak percaya oleh Anwar.
“Veteran berpendapat wakil rakyat Umno tidak sepatutnya terlibat dengan kemelut PH sebab itu adalah masalah mereka. Sebagai pembangkang mereka sewajarnya menjauhkan diri daripada turut terheret dan menjadi alat kepada pihak yang sedang bertelagah dalam PH,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Mustapha berkata veteran Umno mendesak supaya kumpulan terbabit berhenti menjejaskan reputasi Umno.
“Veteran mendesak ‘pelakon-pelakon’ ini berhenti daripada meneruskan ‘lakonan’ mereka yang boleh menjejaskan kredibiliti Umno sebagai pembangkang yang berwibawa.
"Mereka wajib mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) yang menetapkan sebarang tindakan yang melibatkan parti hendaklah dibuat secara ‘en bloc’ (keseluruhan) dan tidak secara berkumpulan,” katanya.
Sebelum ini Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Lokman Noor Adam mendakwa anggota parlimen Sembrong, Hisammuddin Hussein mengetuai dan menjadi dalang sekumpulan MP pembangkang mengadakan pertemuan sulit di kediaman rasmi Azmin.
Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga bekas naib presiden Umno, menafikan dakwaan itu dan menyatakan kesediaannya untuk disiasat lembaga disiplin parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan