UMNO ONLINE
Gambar hiasan
KUALA
LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar
mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin dan berganding bahu membendung wabak COVID-19 di
negara ini.
Perintah itu berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata
Seri Paduka menzahirkan bahawa rakyat perlu menghadapi situasi ini
dengan penuh tenang dan tidak cemas bagi membantu kerajaan serta pihak
berkuasa membendung jangkitan COVID-19 di negara ini.
“Seri Paduka Baginda menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah
dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini. Rakyat turut
diminta untuk mengikuti panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan
Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ini adalah tanggungjawab kita
bersama terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarga, masyarakat dan
negara yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan Istana Negara hari
ini.
Menzahirkan keprihatinan dengan peningkatan jumlah kes baharu
COVID-19 di negara ini yang menyaksikan jumlah 553 kes di Malaysia
semalam, Al-Sultan Abdullah amat memandang serius terhadap peningkatan
jangkitan COVID-19 di negara ini dan menaruh penuh kepercayaan kepada
kerajaan dan semua pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab
membendung penularan penyakit itu.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka sedar bahawa rakyat mungkin merasakan
tindakan kerajaan Perikatan Nasional itu menimbulkan kesulitan untuk
menjalani kehidupan seharian.
“Namun, kita perlu faham dan bersabar kerana kerajaan tidak boleh
menunggu sehingga situasi ini menjadi lebih meruncing untuk mengambil
tindakan yang drastik.
“Selaku Ketua Negara, Seri Paduka Baginda turut menyeru supaya rakyat
Malaysia, dari pelbagai bangsa dan agama, bersatu dan bersama
berganding bahu memainkan peranan membantu kerajaan dalam menangani
penularan COVID-19 di negara ini.
“Seri Paduka Baginda yakin dengan semangat kental, keprihatinan dan
kerjasama yang rakyat berikan, kita mampu membendung penularan wabak ini
dengan cepat dan berkesan,” katanya.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut menitahkan rakyat agar
menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat
Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman
sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sebarang keraguan serta
pertanyaan untuk mengelak penyebaran berita dan maklumat palsu yang
boleh mencetuskan panik dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan penghargaaan dan terima
kasih kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin, agensi-agensi Kerajaan serta
kepada wira-wira tidak didendang, khususnya semua petugas kesihatan,
penjawat awam dan semua pihak berkorbankan masa bertungkus-lumus di atas
usaha-usaha dan tindakan untuk memastikan langkah pencegahan serta
kawalan dilaksanakan secara berkesan.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru agar rakyat bersama-sama baginda
berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya usaha-usaha kita ini dirahmati dan
diberkati agar situasi COVID-19 dapat ditangani dan berakhir dengan
segera, insya-Allah.” – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan