MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Isnin, 2 Mac 2020
Hadi: Ada juga pemimpin PH dibebaskan dari kes mahkamah
MALAYSIAKINI
Presiden
PAS Abdul Hadi Awang membangkitkan kes mahkamah pemimpin PH yang
digugurkan, apabila ditanya pemberita berkenaan kedudukan pemimpin Umno -
kini kembali sebagai kerajaan - yang masih dibicarakan di mahkamah.
"Apa yang penting selamatkan negara terlebih dahulu daripada kemelut politik yang berlaku...PAS ambil kira semua.
"Kalau
nak dituduh pemimpin (Umno) terpalit dengan masalah, pemimpin PH pun
ada yang terpalit dan (kes mereka) diberhentikan di mahkamah, dilepaskan
begitu sahaja," katanya ketika sidang media di ibu pejabat PAS hari
ini.
Beliau menjawab soalan pemberita berkenaan wajarkah pemimpin
Umno yang kini dibicarakan di mahkamah dilantik ke dalam kabinet baru
nanti.
Abdul Hadi tidak merujuk mana-mana pemimpin PH secara khusus.
Bagaimanapun
pada bulan lalu pertuduhan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam
(LTTE) terhadap 12 individu, termasuk dua adun DAP, digugurkan di mahkamah.
Selain
itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pernah dihadapkan dengan dua
pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah harga
pasaran pada awal 2018, ketika pentadbiran BN.
Bagaimanapun pertuduhan terhadapnya digugurkan pada 3 September 2018, ketika pentadbiran PH.
Perdana
Menteri Muhyiddin Yassin akan mengetuai gabungan baru yang merangkumi
partinya Bersatu, BN, PAS, GPS dan beberapa parti kecil.
Antara
pemimpin Umno yang kini berdepan pertuduhan rasuah ialah Najib Razak,
Ahmad Zahid Hamid, Bung Moktar Radin, Abdul Azeez Abdul Rahim dan Isa
Samad. Isteri Najib, Rosmah Mansor turut berdepan perbicaraan kes
rasuah.
Dalam sidang media hari ini, Hadi menggariskan visinya untuk kerajaan baru.
"PAS
mengharapkan kerajaan persekutuan mengutamakan agenda memulihkan
ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin, meningkatkan tahap pendidikan,
dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seterusnya
menjaga prinsip federalisme dengan negeri-negeri.
"PAS menyeru
seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di
kalangan masyarakat majmuk dan menyarankan kerajaan untuk berlaku adil
dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan
fahaman politik," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan