KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan menggesa pihak berkuasa menyiasat apa yang sudah berlaku kepada Tabung Haji (TH) terutama berkaitan penjualan aset-asetnya.
Tegasnya dalam satu hantaran di Facebook, jika didapati terdapat kesalahan, hendaklah disegerakan pendakwaan terhadap mereka yang curang dan tidak amanah pada kepentingan rakyat.
“Penjualan itu juga dilakukan secara tergesa-gesa hingga dijual pada nilai rendah daripada harga pasaran.
“Perkara ini amat serius kerana rakyat menanggung kerugian yang besar, sudahlah rakus menjual aset-aset orang Islam Bumiputera, dijual pula macam ‘pasar borong’,” selarnya lagi.Zahida berkata demikian mengulas mengenai hasil kajian dan pendedahan Maybank IB Research di dalam akhbar arus perdana yang menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan aset-aset TH ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Rujuknya lagi, bahagian penyelidikan ekuiti bank pelaburan itu berkata nilai pasaran ladang seluas 2,307 hektar itu adalah RM77.6 juta, lebih tinggi berbanding anggaran jualan pada harga enterpris (EV) RM72 juta.
Untuk rekod sepanjang rejim PH memerintah negara selama 22 bulan, bukan sahaja hutang negara mendadak naik ke angka lebih RM800 bilion, bahkan berlaku penjualan aset-aset negara secara lambak antaranya seperti IHH Healthcare Berhad, Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Hartanah DUO di Singapura, ladang kelapa sawit FGV di Indonesia dan juga ladang-ladang milik TH Plantations. – UMNO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan