HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 Mac 2020

Manfaatkan promosi dalam talian untuk tarik pelancong selepas COVID-19 reda - Nancy

Bernama
Manfaatkan promosi dalam talian untuk tarik pelancong selepas COVID-19 reda - Nancy
Kementerian pada Rabu mengumumkan pembatalan serta-merta Kempen Melawat Malaysia 2020 bagi mencegah penularan wabak COVID-19. - Gambar hiasan
 

KUALA LUMPUR: Penggiat industri pelancongan dan kebudayaan disaran memanfaatkan platform dalam talian bagi mempromosikan produk mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebagai persiapan menarik semula pelancong selepas situasi COVID-19 reda nanti.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata beliau melihat inilah masanya mereka yang terjejas berikutan pelaksanaan perintah yang bermula pada Rabu hingga 31 Mac, meneroka sepenuhnya pasaran dalam talian untuk meningkatkan pendapatan

Dalam rakaman video yang dikeluarkan pada Khamis, Nancy berkata beliau menyedari ramai yang terkesan menanggung akibat penularan COVID-19 sehingga ada yang kehilangan sumber pendapatan dan ekonomi mereka terjejas teruk.

Malah kementerian juga mengumumkan pembatalan serta-merta Kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020) pada Rabu bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Keputusan itu juga sejajar dengan impak penularan wabak tersebut yang memberi kesan dan menjejaskan sektor pelancongan serta kebudayaan di Malaysia dan dunia.

"Keutamaan kita pada ketika ini adalah keselamatan kita semua khususnya dalam tempoh dua minggu ini, bagi membolehkan kita memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini," katanya.

Nancy juga menggesa semua pihak saling membantu bagi memastikan ekonomi negara segera pulih dan rakyat dapat menjana pendapatan segera menerusi aliran tunai daripada pelbagai aktiviti pelancongan dan kebudayaan di negara ini.

Beliau juga mengajak masyarakat berdoa agar keadaan kembali pulih dan berusaha bersama-sama mencegah penularan wabak COVID-19 ini dengan mendengar arahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya duduk di rumah. -- BERNAMA

Tiada ulasan: