KORONAVIRUS
| Ahad lalu, berita tentang hospital sesak dan kematian akibat Covid-19
yang sebelum ini berlaku di luar negara, menjadi kenyataan di Malaysia.
Buat pertama kali, negara mencatatkan kenaikan tiga digit kes Covid-19 dalam sehari.
Peningkatan mendadak kes itu berpunca daripada perhimpunan Tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling, apabila 16,000 jemaah dari pelbagai negara, berkumpul selama empat hari sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing, menyebabkan virus itu tersebar di dalam dan luar Malaysia.
Ketika mengumumkan jangkitan baru sebanyak 190 kes - iaitu kes harian tertinggi pernah direkodkan - Menteri Kesihatan Adham Baba pada Ahad lalu berkata kerajaan akan bermesyuarat pada keesokan harinya bagi memperkenalkan langkah-langkah membendung penularan Covid-19.
Sesetengah
orang yang mengandaikan berlaku penutupan telah menyerbu ke pasaraya
pada pagi Isnin untuk melakukan pembelian akibat panik.
Keadaan
berubah pada petangnya, selepas perdana menteri Muhyddin Yassin
mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi dan mendedahkan
langkah bagi membantu rakyat berdepan Covid-19 dari sudut ekonomi,
beliau berkata ada “pengumuman besar” malam itu selepas perjumpaan
dengan Majlis Keselaman Negara (MKN).
Media sosial kecoh bahawa perintah berkurung mungkin dikenakan. Orang ramai berpusu-pusu ke pasar raya, membeli makanan segar. Pelanggan dapat dilihat beratur panjang di kaunter pembayaran.
Akhirnya, pada Isnin jam 10 malam, Muhyiddin mengumumkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.
Rakyat Malaysia tidak dibenarkan meninggalkan negara ini, manakala pelancong atau pelawat asing tidak dibenarkan masuk, semua perkhidmatan atau perniagaan hendaklah ditutup kecuali yang melibatkan perkhidmatan penting, dan yang paling penting, larangan terhadap perhimpunan beramai-ramai.
Perintah itu berkuat kuasa dari 18 Mac hingga 31 Mac.
Meskipun Muhyiddin memberi jaminan bahawa pasar raya dan kedai serbaneka akan tetap beroperasi, pembelian panik tidak berhenti.
Mesej utama berkenaan risiko membabitkan perhimpunan ramai termasuk di pasar raya nampaknya tidak dijelaskan dengan baik, sedangkan inilah matlamat utama yang cuba dicapai oleh perintah berkenaan bagi mengurangkan penularan Covid-19.
Keadaan menjadi lebih buruk pada hari Selasa berkenaan, apabila semakin banyak perhimpunan ramai didapati berlaku, sedangkan itulah situasi yang berpotensi menyebarkan Covid-19.
Perintah memarakkan lagi perhimpunan ramai
Perintah yang diumumkan Muhyiddin disambut baik dan dianggap keputusan tepat di media sosial, namun ia tidak memberikan maklumat terperinci.
Pelaksanaannya didedahkan setelah 24 jam daripada masa pengumuman itu dibuat.
Seolah-olahnya,
tampak seperti kerajaan sendiri tidak jelas tentang apa yang mahu
dilaksanakannya secara terperinci menerusi perintah itu.
Kemas kini dikeluarkan pada jam 4.10 petang, dan satu lagi pada jam 7.30 petang. Sebahagian kemas kini itu boleh difahami kerana menyediakan penjelasan lanjut daripada versi sebelumnya, tapi ada yang sama sekali bertentangan atau berbeza pendirian daripada versi sebelumnya.
Contohnya, versi pertama menyatakan upacara pernikahan dibenarkan jika tidak melibatkan kehadiran ramai sementara majlis lain “disarankan” tangguh, namun versi susulan dua jam kemudian menyatakan semua majlis seumpama itu adalah “tidak dibenarkan.”
Paling kontroversi, perkara melibatkan soalan ke-17 FAQ MKN, yang dalam versi pertama menyatakan semua pelajar IPT awam dan swasta diarahkan pulang ke rumah masing-masing, namun dalam versi ketiga menyatakan mereka mempunyai pilihan untuk pulang atau terus berada di kampus.
Percanggahan
ini mempunyai kesan yang besar. Para siswa sudah pun mengosongkan
asrama mereka, pergi ke stesen bas untuk pulang ke kampung
masing-masing. Pada saat MKN menukar arahan mereka pada jam 7.30 petang,
keadaan sudah terlambat.
Pengurusan TBS menjelaskan bahawa gambar yang menunjukkan orang berasak-asak di premis itu yang tular di media sosial merupakan gambar lama tahun 2017. Mereka berkongsi gambar sebenar malam Selasa itu, namun barisannya tetap panjang.
Pakar perubatan dan kawalan penyakit berjangkit melihat apa yang berlaku di Lembah Klang tidak sepatutnya terjadi.
“Apa yang terjadi di TBS hari ini (semalam), itulah dia perkara yang kita tak mahu terjadi.
"Adakah kita mungkin menyebarkan (Covid-19) ke seluruh negara?” kata bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan Dr Christopher Lee di Twitter.
Menteri pengajian tinggi tuding pada MKN
Dr Helmy Haja Mydin, seorang doktor pakar pernafasan, turut bimbang dengan kejadian berkenaan.
“Inikah yang kita sebut sebagai mengekang Covid-19? Saya yakin kawan-kawan di KKM (pasti terkejut) fikir usaha mereka jadi sia-sia (dengan kejadian itu).
"Bilangan kes akan meningkat mendadak,” ciapnya.
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad turut diserang di media sosial. Jelasnya, segala arahan hanya dikeluarkan oleh MKN sementara menteri dilarang mengeluarkan kenyataan tentang Covid-19, kecuali menteri kesihatan.
Dalam
ciapan berasingan, Noraini berkata dia telah bercakap dengan semua IPTA
untuk membenarkan pelajar tinggal di kampus dan kantin dibuka.
Ini selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengumumkan pada petangnya bahwa mereka yang mahu bergerak antara negeri perlu memohon kebenaran daripada balai polis terdekat dan mengisi borang.
Balai polis sesak
Sebelum pengumuman itu, perjalanan rentas negeri merupakan hal yang samar-samar, memandangkan ia tidak dihuraikan oleh mana-mana pihak, baik oleh ucapan Muhyiddin mahupun FAQ MKN.
Kementerian Dalam Negeri juga tidak ada mengeluarkan apa-apa garis panduan menerusi menterinya Hamzah Zainuddin, yang tidak membuat sebarang kenyataan media sejak 12 Mac.
Enam jam selepas pengumuman berkenaan, polis menangguhkan arahan berkenaan memandangkan balai polis menjadi sesak. Namun, anggota-anggota polis yang terbabit telah pun terdedah dengan risiko kesihatan, ia tidak dapat diundur lagi.
Biarpun ramai
yang mengkritik mereka yang berpusu-pusu untuk keluar merentas antara
negeri semalam, ada yang mendakwa bukan semua daripada mereka hendak
pergi “bercuti.”
“Sebab apa? Ayah saya pergi kerja luar (outstation) tiga hari lalu di Kelantan, dia dijangka balik (Pahang) esok. Tapi berdasarkan arahan, dia kena isi borang perjalanan di balai bolis.
“Dia itu sudah 68 tahun, dan ada masalah jantung. Kenapa bebankan dia? Dia cuma nak balik rumah,” kata seorang pengguna Facebook, Zulkarnaen.
Setakat tengah malam tadi, Plus
Expressway melaporkan trafik sesak di lebuh raya menuju utara.
Sama ada
orang-orang ini mempunyai alasan yang baik atau tidak untuk perjalanan
itu, mereka berpotensi membawa penyakit yang mereka hidapi, termasuk
Covid-19.
Di
selatan tanah air pula, beribu warga Malaysia yang bekerja di Singapura
berpusu-pusu merentas ke negara jiran itu sebelum perintah kawalan
pergerakan berkuat kuasa. Jika tidak, mereka tidak akan lagi dibenarkan
meninggalkan Malaysia dalam tempoh perintah itu.
Rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura hanya mampu berteka-teki tentang nasib mereka, memandangkan pengumuman Muhyiddin pada Isnin malam lalu tidak memperincikan hal itu.
Sehinggalah pagi esoknya, apabila Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan tiada pengecualian buat mereka.
Masa suntuk
Keadaan
memuncak apabila mereka mengambil keputusan berjalan kaki ke Singapura
bagi mengelak trafik sesak dan masa suntuk, seperti yang dapat dilihat
di Tambak Johor.
Perintah
yang sepatutnya mahu mengekang perhimpunan ramai dan menggalakkan
penjarakkan antara manusia dengan mengelak aktiviti sosial bagi
menangani Covid-19, secara tidak sengaja, menyaksikan lebih banyak
perhimpunan ramai terjadi dalam masa sehari.
“Sebagai doktor, saya terpaksa menerima bahawa kes Covid-19 akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang. Kita akan kekurangan katil dan kelengkapan asas seperti topeng.
“Kementerian Kewangan, tolong ambil maklum dan bantulah KKM. Saya harap saya salah. Jika tidak, pihak berkenaan perlu bertanggungajwab [i hope heads roll]. Rakyat berhak mendapat lebih baik daripada ini,” kata Hilmy.
Sama ada nasib Malaysia akan menjadi sama seperti Itali dan China mungkin hanya akan diketahui dalam dua minggu yang akan datang. Ini berdasarkan jangkitan Covid-19 dalam perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac.
Kes pertama yang dikesan daripada perhimpunan ini adalah di Brunei, 11 hari selepas pesakit itu menghadiri perhimpunan berkenaan. Dia menunjukkan simptom pada 7 Mac, dan dimasukkan ke hospital pada 8 Mac sebelum disahkan positif hari berikutnya.
Pada waktu sama, pesakit daripada kluster berkenaan turut dapat dikesan pihak berkuasa kesihatan Malaysia menerusi ujian rambang terhadap peserta yang datang untuk mendapatkan rawatan pada 8 Mac, sebelum disahkan positif Covid-19 pada 10 Mac.
Hakikat bahawa pihak berkuasa kesihatan Malaysia mampu mengesan kes jangkitan kluster baru berkenaan serentak dengan pihak di Brunei, menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai sistem ujian rambang kesihatan yang bagus.
Sistem itu akan diuji dalam masa beberapa minggu ini.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan perlu membendung jangkitan dari kluster Sri Petaling. Sejak semalam, 673 kes dicatatkan di Malaysia, termasuk dua kematian pertama. 428 daripada jumlah ini adalah dari kluster Sri Petaling.
Di seluruh dunia, virus itu telah menjangkiti 187,665 orang dan mengorbankan 7,790 orang setakat ini. Di China, tempat asal-usul virus berkenaan, mencatatkan 80,881 kes dengan 3,226 kematian.
Sementara China telah berjaya mengawal Covid-19, virus itu telah merebak ke seluruh dunia termasuk Itali (31,506 kes), Iran (16,169 kes), Sepanyol (11,178 kes), Korea Selatan (8,320 kes), Perancis (7,730 kes), Jerman (6,012 kes), AS (4,379 kes) dan UK (1,950 kes).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan