HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 Mac 2020

Tabayyun pada Tabligh


FIRDAUSI FAUZI

Malaysiakini 

ULASAN | Rutin saya membesar dalam keluarga yang terbiasa dengan usaha dakwah dan Tabligh. Kami akan adakan majlis taklim selepas Isyak, atau selepas Subuh pada Ramadan.

Semasa majlis taklim itu, biasanya kami dengarkan bacaan kitab tentang hadis.

Sayidina Abu Musa RA berkata, para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah yang mana satulah keislaman seseorang yang paling afdal?” Rasulullah SAW menjawab: Keislaman seseorang yang apabila orang-orang Islam lain berasa terselamat daripada (keburukan) tangan dan lidahnya.” (Bukhari)
Selepas pembacaan kitab, kami akan bermuzakarah sekeluarga. Itulah kebiasaan kami lebih dari 20 tahun yang lalu.

Apabila saya didengarkan “kisah-kisah” atau “kata-kata” kedegilan peserta ijtimak Tabligh (nama rasminya ialah Jord Qudhama dan Ulama), dari melakukan saringan kesihatan, saya berasa ralat berbaur pelik dan marah.

Ralat dan pelik kerana bagi saya, kebiasaannya orang yang sudah lama dalam usaha dakwah ini punya sifat bertanggungjawab yang amat tinggi. Mereka seharusnya sudah terbiasa dengan hadis yang bukan sedikit menyuruh agar kita mengelakkan mudarat diri dari masyarakat sejagat.

Jika itu pun tidak cukup, tarbiah usaha dakwah itu banyak sekali yang menyuruh ke arah ini. Sehalus-halus perkara - malah dalam pemilihan kata-kata dan tona suara pun - jadi benda berat ditarbiahkan dalam Tabligh.

Hal ini supaya manusia akan berasa mereka berada dalam daerah paling selamat. Jord Qudama dan Ulama itu secara umumnya bermaksud orang lama.

Dua kali buat saringan

Seandainya budak muda seperti saya yang baru berusia lewat 20-an pun sangat sensitif akan perkara begini, contoh yang lebih sepatutnya ditunjukkan oleh “orang lama-lama”.

Oleh itu, kepelikan inilah yang menjadikan saya menyoalkan bahawa benarkah kisah-kisah dan kata-kata ingkar itu?

Atau ia hanya hikayat orang luar yang cuba membela Tabligh tetapi hujah dan kata-katanya hanya memberi nama buruk kepada kami?

Saya sendiri bermula daripada mendengar khabar lalu bertanya apakah panduan untuk kami peserta majlis berkenaan?

Saya melalui bukan sekali - tetapi dua kali - saringan kesihatan di Hospital Shah Alam dan kemudian di klinik kesihatan. Ia perlu dilakukan kerana saya memerlukan bukti bertulis untuk disediakan kepada majikan.

Hal ini saya lakukan dalam keadaan saya tidak mengalami sedikit pun simptom yang dapat dikaitkan dengan Covid-19.

Dan seandainya benar ada individu yang ingkar - dan mereka itu orang lama - maka kemarahan saya memang benar. Saya masih ingat, sewaktu masih menjadi mahasiswa, dalam kereta Encik Li, kami menuju ke markas Ipoh.

Pensyarah UiTM itu meluahkan rasa tidak setujunya kepada orang yang mengingkar undang-undang mewajibkan pemakaian topi keledar kerana berserban.

Kata beliau, jika kita tidak mampu taat kepada undang-undang dunia yang mudah, bagaimana kita hendak taat pada undang-undang akhirat yang lebih berat?

Pesan ayah yang sangat berakar dalam kepala saya ke hari ini: “Kalau kita tidak dapat sempurnakan usaha agama ini, kita jangan jadi contoh yang buruk, yang akhirnya memberi sangkaan jahat kepada orang lain yang mahu sempurnakan usaha dakwah ini.”

Saya sedar ada yang cuba membela kami. Namun ada antara mereka adalah umpama tikus membaiki labu apabila mencorakkan kami dengan hujah politik atau agama yang tidak kena pada tempatnya.

Sedarkanlah diri sendiri

Insya-Allah, kami semua sudah dan sedia bekerjasama. Hujah-hujah politik seperti "Ini salah kerajaan PH kerana membenarkan orang China masuk" kini lompang kerana kebanyakan kluster sumber Covid-19 sekarang adalah daripada warganegara Malaysia yang datang dari negara berisikio.

Saya masih teringat semasa malamnya ada Bayan Maghrib (ceramah). Pak cik di sebelah saya
menyatakan rasa bersyukur teramat sangat apabila mendapat tahu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, sedang saya bercampur sinikal dan sedih orangnya bukan Anwar Ibrahim.

Kepada yang kiri - atau yang di tengah tapi punya kecenderungan ke kiri - berlaku adillah kepada kami. Majlis di Masjid Seri Petaling itu berlaku dua minggu lepas.

Pada tarikh yang lebih kurang sama ada 30,000 orang orang menonton perlawanan Piala Sumbangsih di selatan tanah air.

Sewaktu majlis di kemuncaknya, hanya dua kes masih aktif di Malaysia, lebih 20 kes sudah dirawat. Malaysia belum tahu pun akan wujud gelombang kedua.

Selain itu, sedar-sedarkanlah diri. Orang yang dikatakan Tabligh itulah yang melihat kamu sebagai manusia biasa berbanding manusia pendosa. Yang mengenali kamu sebagai umat, bukan sebagai liberal, sekular, LGBT atau apa-apa gelar yang jahat.

Mereka yang lebih kisah tentang kemanusiaan penghuni kelab malam dan jalanan, daripada memberi cadang supaya mereka itu dihududkan.

Berilah mereka sedikit "benefit of the doubt". Mereka mungkin orang yang berada di tengah kisah cubaan menghubungkan kumpulan kiri dan kanan tanpa perlu melaga-lagakan.

Semasa artikel ini ditulis, berdasarkan maklumat rasmi, lebih kurang 5,000 peserta sudah dikenal pasti dan lebih 3,000 sudah melakukan pemeriksaan kesihatan.

Saya sendiri berada pada hari akhir tempoh kuarantin (biasanya 14 hari). Seandainya ada seseorang yang zahirnya nampak macam "orang Tabligh” tetapi tidak mengkuarantinkan diri, kemungkinan besar mereka tidak pun hadir di ijtimak tersebut.

Bertabayunlah dengan bertanya kepada mereka sebelum membuat status yang lantang di media sosial untuk menunjuk diri bukan calang-calang.

Seperti yang saya sebut tadi, majlis itu sepatutnya untuk “orang lama” maka orang baru berjinak-jinak tidak pun diundang secara rasmi untuk hadir.

Dan orang lama yang sudah ditarbiah dengan dakwah kasih sayang itu tidak sepatutnya memiliki sifat begitu kejam untuk mendatangkan mudarat pada diri, keluarga dan umat.

Seandainya kamu bertabayun tentang perihal majlis tersebut, kamu akan tahu majlis itu dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Punya pasukan perubatannya, keselamatannya, malah pengurusan lalu-lintasnya.

Pihak polis pun menolong mengerahkan lebih 24 anggota untuk menjaga keselamatan. Bagaimana sifat tanggungjawab ditunjukkan sewaktu majlis tersebut, insya-Allah sifat yang sama kami akan cuba tunjukkan waktu-waktu kritikal begini.


FIRDAUSI FAUZI ialah Melayu yang berharap masyarakat Islamnya membenci rasuah sama seperti mereka benci kepada daging babi, dan berasa hina berperangai rasis.


Tiada ulasan: