HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 Mac 2020

Tular 2 positif Covid-19 lari hospital tak benar




PORT DICKSON: Berita 2 individu yang dikatakan positif Covid-19 melarikan diri dari Hospital Port Dickson seperti yang tular di media sosial sejak semalam tidak benar, kata Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed.

Sebaliknya kedua-dua individu itu yang berusia 40 dan 44 tahun datang ke hospital berkenaan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 mengikut prosedur pihak hospital kerana dikatakan mempunyai simptom.

Bagaimanapun, individu berumur 40 tahun itu meninggalkan hospital tanpa menjalani ujian saringan tetapi kembali semula untuk mendapatkan rawatan atau ujian saringan, sementara seorang lagi belum kembali semula ke hospital dan pihak jabatan kesihatan dan hospital dibantu polis sedang mengesannya.

“Kenyataan yang tular mengatakan kedua-dua orang awam ini positif Covid-19 adalah tidak benar kerana pihak hospital belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan hasil keputusan saringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi berkata semakan lanjut juga masih dijalankan sama ada kedua-duanya hadir ke perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur ataupun tidak, berikutan banyak jangkitan direkodkan susulan perhimpunan itu.

“Pihak polis menasihatkan mana-mana individu supaya tidak menularkan sebarang kenyataan atau laporan yang tidak benar dalam media sosial kerana ia boleh mendatangkan rasa panik dalam kalangan masyarakat,” katanya dan menurutnya perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tiada ulasan: