“SEKIRANYA rakyat menoleh semula kepada sejarah konflik antara Anwar-Mahathir, sememangnya sukar untuk menyingkap lakonan-lakonan kedua tokoh ini di atas pentas yang kelihatan berseloroh dan berjenaka antara satu sama lain. Beberapa hari kemudiannya mereka berperang besar sehingga rakyat turut diheret sama ke dalam konflik itu bertahun-tahun lamanya.” Petikan catatan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr. Mohd Zuhdi Marzuki sekitar tahun 2018.
Pertembungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menjadi antara catatan penting mesti direkodkan dalam sejarah politik tanah air.
Detik indah perkenalan Anwar dan Mahathir dimulai seawal tahun 1979. Kerana kekagumannya pada Mahathir, dia sanggup jadi ‘budak suruhan’ menjaja buku ‘The Malay Dilema’ tulisan Mahathir.
Anwar ketika itu masih mentah, muda belia dan ‘suci’ terjun ke dunia politik dengan mengisytiharkan diri masuk Umno pada tahun 1982 ketika ‘bapa’ kesayangannya itu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4.
Ramai beranggapan Anwar akan menyertai PAS memandangkan beliau adalah Pengasas dan Presiden kedua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ditambah keakraban beliau bersama pimpinan-pimpinan PAS dan ‘sosok’ serta lenggok bicara beliau persis seorang ustaz.
Malangnya andaian itu jauh tersasar; ‘nafsu dan selera’ Anwar cukup luar biasa sehingga telah melontar Anwar jauh daripada hati khususnya sahabat-sahabat lama beliau dan orang-orang PAS.
Apabila Anwar-Mahathir ‘putus kasih’ pada 1998, maka bermulalah babak demi babak; hanyir, mual hinggalah ke babak ‘sirih pulang ke gagang’ apabila Mahathir muncul kembali dan memecah rekod Perdana Menteri tertua di dunia.
Ketika berusia 92 tahun pada 2018 dan masih mampu ‘membuli’ Anwar yang juga tidak serik-serik dibuli kerana kegilaannya untuk menjadi Perdana Menteri bukan kepalang dan tidak pernah hilang ditelan zaman.
Mari kita telusuri kronologi ‘paling menyusahkan rakyat Malaysia’ pasca 22 tahun pertembungan Anwar-Mahathir bermula dari detik hitam September 1998.
31 Ogos 1998
Dr Mahathir: “Saya tidak akan pecat Anwar. Semua itu hanya cerita rekaan. Hubungan saya dengan Anwar amat baik. Lihat, saya mai Penang negeri Anwar ni. Kami tak gaduh.”
Anwar Ibrahim: “Semua itu (pemecatan) saya hanya spekulasi. Hubungan saya dengan Dr. Mahathir cukup baik. Semalam saya ada bincang banyak perkara mengenai negara sambil minum teh dengan beliau”.
1 September 1998
Dr. Mahathir: “Saya tidak akan pecat Anwar. Anwar adalah seorang Menteri Kewangan yang bagus. Ketika ekonomi negara tidak baik, kita perlukan Menteri Kewangan seperti beliau.”
Anwar Ibrahim: “Saya masih bekerja. Lepas ini pun saya ada banyak mesyuarat. Kita perlu tumpu untuk memulihkan ekonomi negara.”
2 September 1998
Pagi sebelum mesyuarat Kabinet, mereka bertengkar di bilik Dr Mahathir. Mahathir beri ultimatum kepada Anwar sama ada letak jawatan atau dipecat.
Anwar dipecat pada tarikh ini setelah mereka berdua cuba menafikan keretakan hubungan mereka.
8 September 1998
”Saya menganggap Anwar tidak layak untuk menerajui negara ini bukan disebabkan oleh soal politik, pertentangan pendapat dengan saya atau ekonomi tetapi disebabkan moralnya yang rendah.
”Perbuatan yang dilakukan oleh Anwar tidak dapat diterima oleh saya, tidak dapat diterima oleh parti saya dan tidak dapat diterima oleh negara ini,” kata Mahathir.
12 November 2016
Parti serpihan Umno yang diasaskan oleh Tun Mahathir iaitu BERSATU menjadi rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) seterusnya diterima sebagai rakan komponen pada 14 Mac 2017.
Satu perjanjian kemudiannya dimeterai dan diumumkan pada 7 Januari 2018 merangkumi beberapa perkara sekiranya PH berjaya mengambil alih Putrajaya.
Antaranya ialah Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula sebagai calon Timbalan Perdana Menteri. Seterusnya Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan selepas proses pembebasan dan mengembalikan Anwar ke Dewan Rakyat.
10 Mei 2018
Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara.
Pada PRU14, gabungan PH yang turut dianggotai parti ‘baru nak up’ pimpinan Mahathir, BERSATU memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
“Saya sanggup jadi Perdana Menteri kerana desakan. Saya letak jawatan pada 2003 sebab saya fikir dah lama jadi Perdana Menteri jadi saya nak rehat,” kata Mahathir.
16 Mei 2018
Dato’ Seri Anwar Ibrahim diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Pembebasan beliau daripada penjara merupakan antara janji PH yang turut dianggotai PKR ketika memenangi PRU14 lalu dan menjadi kenyataan seminggu setelah pilihan raya berakhir.
8 Oktober 2018
Mahathir dan Anwar kembali sepentas pada kempen PRK Port Dickson selepas 20 tahun berpisah.
“Dalam keadaan sekarang lebih baik Tun (Dr Mahathir) pimpin negara. Saya ikhlas sebut ini. Saya sayang dia sebagai ayah dan pemimpin. Saya akui dia terbaik untuk pimpin Malaysia sekarang. Ada orang yang nak cucuk-cucuk, gaduh, fitnah dan macam-macam.
“Sekarang saya nak bagi tau kita (rakyat) sudah nobatkan beliau (Tun Mahathir) sebagai Perdana Menteri, kita mesti bersatu, kuat dan sokong beliau sebagai Perdana Menteri,” kata Anwar.
Episod ‘Mungkir Janji’ bermula
22 Oktober 2018
“Saya janji akan meletak jawatan dan beri laluan kepada Anwar,” kata Mahathir
Dalam pada itu, Dr Mahathir menegaskan tiada jaminan bakal penggantinya akan menjadi seorang Perdana Menteri yang baik.
“Saya tidak boleh menjamin pengganti lebih baik dari saya. Macam saya fikirlah lantik Tun Abdullah Ahmad Badawi, dia orang agama tetapi tengoklah apa jadi.
“Begitu juga dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, dia anak kepada Tun Abdul Razak Hussein tetapi tengok apa jadi,” jelas Mahathir.
3 April 2019
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata Dr. Mahathir tidak akan menyerahkan tugas jawatan Perdana Menteri dengan mudah kepada Anwar Ibrahim.
Katanya, Anwar juga akan kekal sebagai individu paling lama memegang status “bakal Perdana Menteri”.
“Saya tahu atok (Mahathir) kita itu hatinya keras. Ini yang bercita-cita hendak jadi Perdana Menteri (Anwar) mati kering jadi bacang gantung tidak jatuh-jatuh.
“Saya tahu sangat atok kita itu. Dia tidak akan bagi,”
“Mahu tidak mahu esok, payah benar (pilih Perdana Menteri) dia (Mahathir) bubar Parlimen,” luah Anwar.
4 November 2019
Dalam satu temu bual bersama akhbar Australia, Sydney Morning Herald di Bangkok ketika Sidang Kemuncak Asean ke-35, Dr. Mahathir ditanya sama ada beliau pasti akan melepaskan ‘baton’ kepada Anwar dan bukan calon lain termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dr Mahathir menjawab:
“Ya, saya akan berbuat demikian.”
Khabar angin bertiup kencang mengatakan ketika itu bahawa bukan lagi
rahsia Mahathir tidak akan menyerahkan tampuk pimpinan negara kepada
Anwar Ibrahim walaupun wujud perjanjian dalam Majlis Presiden PH bahawa
Anwar bakal pengganti
Mahathir.
14 Februari 2020
Tun Dr Mahathir menafikan terbabit dalam sebarang kegiatan atau kumpulan yang cuba menghalang Dato’ Seri Anwar menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
“Dia (Anwar) jumpa dengan saya (semalam) dan apa dia buat kenyataan itu betul. Saya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan lain. Saya janji akan letak jawatan selepas APEC dan saya pegang kepada janji saya,” ujar Mahathir.
Menyentuh mengenai dakwaan mengatakan 138 Ahli Parlimen sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir kekal sehingga tamat penggal, beliau memaklumkan tidak tahu mengenainya.
“Saya dengar macam-macam cerita, ada mahu saya jadi Perdana Menteri 20 tahun lagi. Saya umur 94, beberapa bulan lagi 95.
“Hari ini PH mempunyai majoriti (di Parlimen). Macam mana boleh dapat angka 138 (Ahli Parlimen) itu orang lain punya kerja,” kata Mahathir.
22 Februari 2020
Mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini, sebulat suara bersetuju peralihan kuasa Perdana Menteri ditentukan sepenuhnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ada dua pendapat, akhirnya saya rasa bangga, semuanya diserah kepada saya, apa saya kata, mereka akan turut.
“Peralihan berlaku lepas APEC (Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik), ‘no time, do date, no nothing’ (tiada masa, tiada, tarikh, tiada apa pun).
“Semuanya terpulang pada saya, sama ada nak lepas atau tidak. Itu kepercayaan parti kepada saya, alhamdulillah,” kata Mahathir.
Mengulas terma ‘terpulang kepada saya’ termasuk kemungkinan peralihan kuasa berlaku selepas APEC, Dr Mahathir sambil mengukir senyuman berkata:
“Semuanya di tangan saya”.
21 Februari 2020
Selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang memaksanya menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, Mahathir tahu dia akan kecundang iaitu sama ada terpaksa menyerahkan kuasa kepada Anwar atau kalah dalam PRU akan datang kepada Muafakat Nasional.
“Oleh itu dia (Mahathir) suruh Azmin dan Hamzah Zainuddin buat Langkah Sheraton supaya dia boleh ‘hijack’ Muafakat Nasional dan kekal sebagai PM serta halang Anwar dari jadi Perdana Menteri,” dakwa seorang penulis, Isham Jalil.
24 Februari 2020
Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.
Tidak lama selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir mengumumkan mengundur diri sebagai Pengerusi BERSATU.
Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan pergolakan politik yang berlaku dalam PH sejak mesyuarat Majlis Presiden beberapa hari lalu.
1 Mac 2020
“Anwar memang dia gila-gila nak jadi PM, dia tak boleh jadi (PM) pasal entah macam mana kalau dulu ramai sokong dia, sekarang ini ramai sokong saya,” kata Mahathir.
Menurut Mahathir, Anwar telah mendapat sokongan daripada ahli Parlimen PH untuk menamakannya (Anwar) sebagai calon Perdana Menteri apabila mereka ditemu ramah oleh Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lepas.
“Jika tidak, saya sudah dapat 92 undi (sokongan Ahli Parlimen). Saya boleh dapat lagi 60 undi, dan boleh dapat majoriti. Jadi kerana dia (Anwar) tuntut untuk menjadi calon, walaupun dia sepatutnya tahu dia tidak boleh dapat (sokongan majoriti).
“Dia tuntut nak jadi calon (Perdana Menteri). Orang macam tu percaya benda tak betul, sebab dia nak (jadi) Perdana Menteri,” luah Mahathir.
Perkara itu disebutnya dalam mesyuarat tertutup dengan pemimpin akar umbi BERSATU di Yayasan Kepimpinan Perdana pada petang hari yang sama Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 1 Mac 2020.
13 Mac 2020
Sedaya upaya Anwar berusaha kelihatan tenang di mata khalayak walaupun hati kecilnya mungkin hangus rentung terbakar dan tebal mukanya mungkin sudah setebal tayar kereta kebal.
“Saya tahu saya dijanji tapi dimungkiri. Orang kecam, maki hamun saya dah lama,” luah Anwar.
Anwar berkata kesabarannya kini sehingga ke tahap Dewa berikutan perjanjian untuk dilantik Perdana Menteri ke-8 dikhianati.
“Saudara tahu kesabaran saya tahap Dewa.”
Sebenarnya Mahathir dah pernah memberi peluang kepada Anwar memangku jawatan perdana menteri ketika beliau bercuti ke luar negara selama dua bulan bermula 19 Mei 1997 tetapi Anwar di mata Mahathir gagal memanfaatkan peluang itu dengan sebaiknya.
Memetik kata Mahathir dalam memoir A Doctor in the House yang diterbitkan pada 2011:
“Anwar sepatutnya sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini. Jika beliau bukan Perdana Menteri maka ia adalah kerana perbuatan beliau sendiri. Beliau tidak memberikan saya sebarang pilihan selain menyingkirkannya. Saya melakukan apa yang saya rasakan terbaik untuk negara. Saya mungkin telah melakukan banyak kesilapan, tetapi menyingkirkan Anwar bukanlah satu daripadanya.”
Kini, baik Anwar mahupun Mahathir, masing-masing boleh melihat jari jemari sendiri sambil menggigit-gigitnya. Politik tidak sunyi dengan drama, permainan dan percaturan tetapi politik juga mampu mendidik iman; ujian membuat pilihan, menjadi hamba tuhan atau hamba kuasa.
Seorang penulis cuba menggambarkan Anwar dan Mahathir begini,
“Mereka adalah orang politik yang hanya ‘mencari makan’ bukan orang perjuangan sebenar seperti Fadzil Noor.”
Kuasa membuatkan ramai orang gila dan ‘gila-gila’ untuk berkuasa!– HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan