HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Januari 2021

Annuar sahkan Zahid beri sokongan bertulis pada Anwar


Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa hari ini mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat perakuan bertulis menyatakan sokongannya kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, akuan itu juga dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya mengesahkan wujudnya sokongan secara hitam putih oleh presiden Umno kepada Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan PN yang dianggotai BN.

"Akuan itu dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sidang media berkenaan diadakan sehari selepas ahli parlimen Ketereh itu diketepikan daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN.

Annuar berkata, tindakan diambil Ahmad Zahid itu merupakan percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan pembentukan jajaran baru politik.

"Percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara Umno, PAS dan Bersatu yang merupakan parti teras yang telah mewujudkan Perpaduan Melayu dan Islam di negara ini," katanya.

Menjelaskan pemecatannya semalam, menteri Wilayah Persekutuan itu berkata dia menerima keputusan dibuat Ahmad Zahid selaku pengerusi BN dan ia dimaklumkan kepadanya melalui WhatsApp pada jam 1.51 petang.

Menurut Annuar selaku setiausaha agung BN dia hanya boleh melaksanakan tugas dengan baik jika wujud perasaan saling meyakini dan mempercayai dengan pengerusi gabungan tersebut.

"Walaupun sememangnya wujud suasana sedemikian sebelum ini, namun sejak kebelakangan ini, suasana tersebut telah berubah berikutan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntut saya mempertahankan prinsip dan Pendirian politik saya secara tegas serta berterus terang," katanya.

Tiada ulasan: