2020 merupakan tahun yang amat mencabar untuk rakyat, negara mahupun parti UMNO dalam segenap sudut.
Mendengar perutusan khas Presiden UMNO sebentar tadi, beliau
menggariskan beberapa pendekatan pro-rakyat yang beliau mahu UMNO ambil,
khususnya dalam keadaan ekonomi dan politik mencabar.
Timbalan Presiden juga menulis perkara serupa – mengingatkan kita bahawa
2021 mesti memberi fokus kepada vaksinasi dan pemulihan ekonomi – dan
tidak dibazirkan dengan “politicking” semata-mata.
Mengambil kenyataan-kenyataan tersebut sebagai semangat untuk 2021, saya mendoakan agar tahun baru nanti:
1. Pemimpin dan warga UMNO tidak menyerang sesama sendiri terutamanya di khalayak umum sehingga timbul persepsi perpecahan dalam parti yang menjadi buah mulut orang luar parti.
2. Pemimpin UMNO lebih banyak mempromosi kebaikan dan pencapaian masing-masing kerana sebarang kejayaan orang UMNO adalah aset kepada parti.
3. Pimpinan dan akar umbi parti meraikan saling kebergantungan satu sama lain – dimana pimpinan mendengar dan mengambilkira suara akar umbi manakala akar umbi juga memberi ruang kepercayaan kepada kepimpinan membuat keputusan dasar tertentu.
4. Ke arah itu, menjelang PRU15, UMNO berani membuat keputusan formula akhir yang telah mengambilkira semua sudut dan telah dipertimbangkan sebagai yang terbaik untuk parti – meskipun menyedari bahawa tiada keputusan yang tak datang dengan risiko. Membuat keputusan yang berisiko lebih baik dari tidak membuat keputusan.
5. Pada masa sama, UMNO lebih banyak membicara perspektif rakyat kebanyakan, berbanding perspektif kita sebagai ahli parti atau orang politik semata-mata. Ya, ahli juga rakyat – saya akur. Tapi tanpa memberi penjelasan panjang lebar, saya yakin pembaca faham apa yang dimaksudkan dengan poin ini dimana isu yang mustahak kepada ahli mungkin tidak sama dengan isu yang mustahak kepada rakyat. Poin ini juga menjadi asas kepada semua poin di bawah.
6. UMNO berhenti mengatakan bahawa kita kalah PRU14 semata-mata kerana fitnah sebaliknya melihat kepada kaedah memperbaiki kelemahan dan memperkuat kelebihan ke arah membina parti dan gerakan yang utuh lantas mampu menambat hati rakyat.
7. UMNO tidak lari dari Undi18 sebaliknya meraikan kematangan dan pembaharuan sistem politik lantas berikhtiar untuk memenangi sokongan anak muda.
8. UMNO tidak dilihat memperlekeh pemimpin muda termasuklah dari parti lawan kerana khuatir memberi kesan nasional.
9. Dalam soal pendekatan mahupun komentar, UMNO mengutamakan golongan atas pagar meskipun suara dan pandangan mereka di media sosial barangkali tidak sekuat penyokong tegar parti-parti politik kerana golongan atas pagar tidak hidup siang malam dalam politik. Tetapi atas pagar yang mudah mengubah-ubah undi mereka dan menentukan keputusan pilihanraya.
10. UMNO memuktamadkan tawaran politik, serta tawaran dasar dan visi yang lengkap dengan pelan pelaksanaan dan anggaran kos (agar boleh diyakini), untuk menjadi pertimbangan pengundi. Apa sahaja formula yang hendak digunapakai kelak, rakyat perlu tahu apa mereka dapat dengan mengundi UMNO.
Tawaran utama tidak perlu terlalu panjang atau tebal; sebaliknya hanya 5 atau 10 tawaran menarik, radikal dan luar biasa untuk era yang luar biasa.
Tentunya azam diatas turut terpakai untuk diri saya sendiri kerana tiada dikalangan kita yang betul atau hebat semua, dan tiada juga dikalangan kita yang salah semua. Saya juga ada pandangan tertentu dalam beberapa perkara diatas tetapi biarlah ia diperincikan belakang tabir dahulu supaya tidak mendahului apa-apa keputusan kolektif parti kelak.
Yang utamanya, kita sama-sama cuba memperbaiki diri dan mencari haluan yang diredhai Allah swt dalam memperjuang agenda politik dan masyarakat.
Selamat Menyambut Tahun Baru 2021.
(*) Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan