HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Januari 2021

‘Kalau bukan wakil rakyat, siapa lagi nak bantu?’ Syed Saddiq bidas Adun PPBM beri alasan tiada peruntukan laptop untuk pelajar

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman membidas wakil rakyat PPBM yang memberi alasan tidak mempunyai peruntukan untuk menyediakan komputer riba atau kelengkapan gajet lain bagi pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Syed Saddiq berkata, kenyataan Adun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim tidak boleh diterima, memandangkan beliau wakil rakyat parti yang berkuasa di peringkat Persekutuan.

“Peruntukan persekutuan ada, peruntukan dari parti pun ada. Saya yang di kerusi pembangkang pun dapat membantu lebih 200 keluarga, kelak tambah lagi 100 lebih untuk dapatkan laptop berkualiti. Jangan beri alasan, banyakkan berkhidmat,” katanya di Facebook.

Media sebelum ini memetik Zolkifly berkata bahawa beliau tidak menerima apa-apa peruntukan membabitkan komputer riba atau kelengkapan gajet lain buat masa ini bagi pelajar yang mengikuti sesi PdPR.

Zolkifly sebaliknya berkata, bagi pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan yang berdepan kesukaran mengikuti sesi PdPR kerana masalah gajet, boleh ke pusat khidmat beliau di Sungai Rusa.

Kata Zolkifly lagi, di pusat khidmat berkenaan beliau semenangnya sudah lama menyediakan satu unit komputer untuk kegunaan orang awam secara percuma.

Tambah Syed Saddiq, jika semua Ahli Parlimen dan Adun bersama-sama membantu anak-anak sekolah untuk mendapatkan laptop, beliau percaya masalah yang dihadapi para pelajar di seluruh negara ketika ini akan selesai.

“Pecahkan tembok politik dan fokus untuk selesaikan masalah rakyat. Kalau bukan kita, siap lagi?” soalnya.

Tiada ulasan: